Zon Maritim Bintulu tahan bot tunda tanpa lesen di perairan Kuala Kemena.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda yang disyaki beroperasi tanpa lesen sah di kedudukan kira-kira 3 batu nautika barat laut Kuala Kemena, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan dilakukan sekitar pukul 10.30 pagi menerusi OP TIRIS 4.0 dan OP PERMAI 01/2019 hasil rondaan penguatkuasaan di perairan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana beroperasi tanpa lesen perkapalan dalam negeri (DSL) yang sah.

“Jika disabitkan kesalahan, pemilik vesel boleh dikenakan denda sehingga RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, vesel bersama kru yang ditahan kemudiannya diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Menurutnya, tindakan tegas itu mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim, khususnya dalam mengekang pelanggaran peraturan yang boleh menjejaskan keselamatan perairan negara.

Sehubungan itu, ujarnya, komuniti maritim diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta prosedur keselamatan ketika beroperasi di laut bagi mengelakkan sebarang risiko dan tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast