KUALA LUMPUR – Masjid dan surau di Wilayah Persekutuan menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap penganjuran Rain Rave Water Music Festival yang bermula hari ini hingga 2 Mei ini di Bukit Bintang.
Penegasan itu dibuat Masjid Asy Syakirin KLCC di Facebook miliknya di sini.
“Penganjuran konsert seperti ini dilihat membawa lebih banyak kemudaratan melalui pergaulan bebas yang tidak terkawal, menyuburkan maksiat di kawasan terbuka dan
budaya hedonisme serta hiburan melampau yang jauh daripada nilai ketimuran dan agama.
“Malaysia sebagai Negara MADANI harus terus menekankan nilai-nilai murni demi mengekalkan keharmonian hidup masyarakat kita. Mari kita bersama menjaga jati diri negara!” kata masjid itu dalam satu hantaran.
Rain Rave Water Music Festival 2026 merupakan penganjuran festival muzik berkonsepkan air yang menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa
Acara berskala besar itu dijangka menjadi antara tarikan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan konsep unik yang menggabungkan muzik, elemen air dan visual interaktif.
Antara artis tempatan yang bakal membuat persembahan di pentas utama ialah Joe Flizzow, Mimifly, Killa Driz, DJ Cza, Dolla dan De Fam, yang mewakili gabungan genre hip hop, pop dan muzik elektronik. – MalaysiaGazette















