JOHOR BAHRU – Johor yakin mampu kembali merampas gelaran juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, semua persatuan sukan di bawah Majlis Sukan Negeri Johor kini berada pada landasan terbaik selepas melakukan persediaan rapi menjelang temasya dwitahunan itu.
“Johor dijangka tampil sebagai antara kontinjen terbesar dengan kekuatan kira-kira 800 atlet dan pegawai bagi menggalas misi memburu pingat emas demi merealisasikan sasaran tersebut.
“Untuk edisi kali ini, kita meletakkan sasaran berada dalam kelompok tiga terbaik. Namun, seluruh kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mengharapkan ada kejutan untuk membawa pulang Piala SUKMA ke Johor, insya-Allah.
“Johor pernah muncul juara keseluruhan pada SUKMA 2022 dengan pencapaian 77 pingat emas dan kita bertekad untuk mengulangi kejayaan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pasukan Johor Bagi Piala Agong 2026 di sini hari ini.
Mohd Hairi berkata, persediaan atlet kini berada di fasa akhir dan semua pihak bersedia sepenuhnya bagi memastikan Johor muncul sebagai antara kontinjen terbaik pada temasya tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri menyambut baik titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenankan penganjuran SUKMA edisi ke-22 diteruskan secara berhemah dan berlandaskan penjimatan kos.
Katanya, kerajaan Johor turut membuat persediaan awal termasuk menyediakan peruntukan sebanyak RM7.5 juta seperti diumumkan sebelum ini oleh Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Negeri.
“Bagi aspek penginapan dan logistik, kita menunggu keputusan mesyuarat bersama Menteri Belia dan Sukan serta barisan Exco sukan seluruh negara berhubung kesiapsiagaan tuan rumah.
“Insya-Allah Isnin ini akan ada pengumuman khas daripada Menteri Besar Johor untuk atlet, jurulatih dan staf sokongan, kemungkinan melibatkan insentif sebagai suntikan semangat untuk memburu pingat,” katanya.
Terdahulu, penganjuran SUKMA 2026 menerima lampu hijau selepas Sultan Selangor memperkenankan temasya itu diteruskan secara lebih berhemah susulan perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 April lalu.- MalaysiaGazette















