Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-80 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Cadangan penubuhan Majlis Tahfiz Negara akan dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu depan untuk mendapat kelulusan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, hasrat kerajaan untuk melahirkan golongan hufaz profesional di negara ini bakal tercapai menerusi penubuhan majlis tersebut pada masa akan datang.

Selain itu katanya, penubuhan Majlis Tahfiz Kebangsaan juga menjadi sebahagian usaha kerajaan dalam memartabatkan pendidikan tahfiz di negara ini.

“Saya sendiri yang akan membawa saranan ke mesyuarat jemaah untuk diluluskan jemaah menteri Rabu minggu depan kerana matlamat kita mahu lahirkan huffaz profesional selain hufaz menghafal al-Quran,” katanya ketika berucap pada Kongres Pendidikan Bumiputera, di sini, hari ini.

Tegas beliau, pendidikan tahfiz tidak boleh terus dilihat sebagai aliran pinggiran sebaliknya Malaysia perlu melahirkan lebih ramai golongan huffaz profesional termasuk doktor, jurutera, teknokrat, usahawan dan pemimpin.

Katanya, usaha memperkasakan tahfiz tidak boleh hanya tertumpu kepada Pra-Tahfiz KEMAS, MRSM Ulul Albab atau TVET Tahfiz sahaja.

“Sudah tiba masanya pendidikan tahfiz diselaraskan di bawah kerangka lebih jelas supaya ia diberi ruang lebih luas dalam ekosistem pendidikan negara,” ujarnya lagi.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menggariskan lima fokus pembaharuan pendidikan termasuk sistem pelbagai laluan, perluasan pendidikan prasekolah dan pemerkasaan wakaf pendidikan Bumiputera.

Beliau turut menekankan keperluan memartabatkan profesion perguruan termasuk mengurangkan beban tugas pentadbiran guru di sekolah.

“Jangan sampai guru lebih banyak mengisi borang daripada mendidik murid untuk berjaya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) diangkat sebagai laluan utama dan lebih berprestij dalam sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, persepsi TVET adalah pilihan kedua perlu diubah kerana bidang itu kini menjadi antara pemacu utama ekonomi masa depan.

Menurutnya, data menunjukkan kadar kebolehpasaran TVET kini melebihi 96 peratus berbanding sekitar 80 peratus pada tahun 2020.

Katanya, sebanyak 53.56 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini memilih laluan TVET.

Menurut Zahid, negara maju dibina atas kekuatan tenaga mahir yang menggerakkan industri dan ekonomi rakyat sehubungan itu, Malaysia perlu membina laluan kerjaya yang jelas untuk pelajar TVET dan pastikan latihan diberikan benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast