Sesi temu bual bersama Exco Wanita UMNO Malaysia, Datin Anne Ngasri pada program Skop MG di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 MEI 2026

KUALA LUMPUR – Peranan wanita dalam UMNO kini menyaksikan transformasi besar apabila hampir 60 peratus daripada golongan itu kini terdiri daripada wanita muda yang memegang jawatan di peringkat Bahagian dan Nasional.

Exco Wanita UMNO Malaysia, Datin Ngasriah Ngasri berkata, perkembangan itu merupakan satu tsunami bagi wanita muda untuk berada dalam kelompok kepimpinan parti pada ketika ini.

“Kombinasi antara orang baru dan lama adalah sangat penting untuk mewujudkan satu platform wanita yang kuat bagi mendepani keadaan masyarakat dan politik mencabar.

“Saya rasa UMNO sudah lakukan langkah baru dalam kelompok wanita khususnya,” katanya menerusi program SKOP MG dengan tajuk Rumah Bangsa: Penyatuan Bukan Tepuk Sebelah Tangan.

Beliau berkata, penyertaan golongan wanita dalam politik semakin diterima ramai kerana wanita sudah diberikan peranan dan menjadi suara penting.

“Kita lihat, bukan sahaja penyertaan malah golongan wanita juga diberi jawatan penting.

“Kerjasama lama dan baru ini harus terus dikombinasikan supaya boleh menjadi platform wanita yang sangat kuat,” katanya.

Katanya, inisiatif Rumah Bangsa dilihat sebagai keputusan yang besar dan matang oleh pucuk pimpinan parti untuk menerima kembali semua pihak demi mengukuhkan agama dan bangsa.

“Saya sangat bersyukur kerana UMNO membuat keputusan untuk Rumah Bangsa dengan menerima kembali semua golongan sama ada orang parti atau tidak.

“Rumah Bangsa ini adalah rumah kita bersama, bukan rumah UMNO sahaja.

“Rumah kita orang Melayu bersama dan semestinya agama Islam,” jelasnya.

Tambahnya, keterbukaan ini juga dilihat sebagai ruang untuk menarik lebih ramai golongan profesional untuk bersama dengan perjuangan parti walaupun mereka mempunyai latar belakang kerjaya yang berbeza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast