KUALA LUMPUR – Masa depan UMNO bergantung kepada keupayaan parti itu untuk berubah, tegas Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.
Menurut beliau, dengan menerima realiti dan menyesuaikan strategi, UMNO boleh terus kekal relevan.
Tambah bekas Ketua Menteri Sabah berkenaan, bergantung kepada kejayaan lalu tidak lagi memadai, sebaliknya UMNO perlu melihat ke hadapan dan membuat keputusan berdasarkan realiti politik semasa.
“Yang penting kini ialah strategi, kerjasama dan hala tuju yang jelas,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau turut menyifatkan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mana UMNO kini tidak sekuat dahulu sebagai sesuatu yang tepat dan bertepatan dengan masa.
Menurutnya, UMNO tidak lagi sekuat dahulu apabila hanya ada 26 kerusi Parlimen dan tidak lagi menerajui kerajaan Persekutuan, justeru parti itu perlu menerima kedudukannya sekarang.
Ujarnya, perkara itu lebih penting di Sabah yang mana UMNO sebelum ini berkembang ke negeri itu atas jemputan Presiden United Sabah National Organisation (USNO), Allahyarham Tun Mustapha Harun untuk menyatupadukan bumiputera-Islam yang berpecah ketika itu.
“Matlamat ini telah dicapai dalam satu tempoh yang panjang.
“Namun, keadaan kini telah berubah. Sokongan kini terbahagi kepada beberapa parti, termasuk United Malays National Organisation, Warisan dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
“UMNO perlu menilai semula peranannya dan memberi fokus kepada kerjasama bagi mengelakkan perpecahan sokongan.
“Jika parti-parti ini terus bertembung, undi akan berpecah dan semua akan rugi. Kerjasama dan perancangan yang teliti amat diperlukan,” katanya. – MalaysiaGazette
















