Pasukan bomba sedang membawa naik mayat tanpa identiti ke atas tebing di Sungai Jebong berhampiran Jalan Izzudin Shah, Taiping, Foto JBPM Perak

TAIPING – Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan tersangkut pada longgokan sampah di tebing Sungai Jebong berhampiran Jalan Izzudin Shah, di sini, pada Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu pada jam 6.45 petang.

Katanya, sejurus selepas itu seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Seorang mangsa lelaki dewasa telah ditemukan dalam sungai oleh orang awam. Pasukan bomba yang berada di lokasi turun ke tebing sungai untuk membawa mangsa naik ke atas tebing,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dibungkus oleh pasukan bomba dengan menggunakan bag mayat bagi memudahkan mayat dibawa naik ke atas tebing.

“Setelah dibawa naik, pihak polis membuat siasatan dan pemeriksaan namun tiada pengenalan diri ditemui pada mayat mangsa. Mayat mangsa kemudian diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Norhisham Abd Rashid itu tamat pada jam 7.30 malam. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast