Kobbie Mainoo muncul wira Manchester United apabila meledak gol untuk menghadiahkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas musuh tradisi, Liverpool di Old Trafford pagi tadi.

MANCHESTER – Manchester United mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan selepas dua tahun tersisih apabila menewaskan seteru tradisi, Liverpool 3-2 dalam aksi dramatik Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, pagi tadi.

Kobbie Mainoo muncul wira Manchester United apabila meledak gol pada minit ke-77  selepas pelawat bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat kedudukan.

Dalam aksi ibarat final ke UCL,  United bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit keenam menerusi percubaan Matheus Cunha yang terkena pemain lawan sebelum menewaskan penjaga gol Liverpool, Freddie Woodman.

Tidak lama kemudian, Benjamin Sesko menggandakan kelebihan tuan rumah hasil sentuhan jarak dekat sebelum Mainoo muncul wira United.

Untuk rekod, kali terakhir United beraksi di UCL adalah pada musim 2023-2024 yang menyaksikan kelab dari England ini hanya menamatkan saingan di kedudukan tercorot kumpulan A ketika itu.

Selain United, dua lagi pasukan yang sudah memastikan slot ke UCL musim hadapan adalah Manchester City dan Arsenal yang kini bersaing hebat merebut kejuaraan EPL di kelompok atasan.

Dua lagi slot wakil England ke pentas UCL menjadi rebutan antara Liverpool, Aston Villa, Bournemouth, Brentford dan Brighton dengan berbaki lagi 3 perlawanan sebelum musim menutup tirai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast