KUALA LUMPUR – Tidak pernah kedekut berkongsi ilmu, pelakon veteran, Allahyarham Jalil Hamid sering dijadikan rujukan para pelakon komedi dan penyanyi baru.
Justeru Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Hafiz Nafiah berkata, pemergian Jalil pastinya meninggalkan kesan mendalam pada warga industri seni tanah air.
“Sudah pasti segala gelak tawa dan hasil kerja arwah akan dikenang sepanjang zaman oleh kami warga industri seni tanah air dan seluruh peminat beliau,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, Jalil,69 yang bergelut dengan masalah jantung bengkak disahkan meninggal dunia pada 12.30 tengahari tadi.
Hafiz berkata, jenazah dijangka akan disolatkan di Masjid Al Munawwarah Alam Megah,Seksyen 28 Shah Alam dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 selepas solat Asar hari ini.
Pelakon, pelawak, penyanyi, pengacara dan penerbit yang terkenal itu dilahirkan pada 25 April 1957 di Kampung Kuala Masai Johor dan dibesarkan di Felda Cahaya Baru, Masai Johor Bahru.
Sepanjang karier dalam industri perfileman, beliau pernah memenangi beberapa anugerah iaitu, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-13 menerusi filem Baginda, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (Anugerah Skrin 2016) Drama Calon Syurga dan Pelakon Lelaki Terbaik Filem tahun 2018 Anugerah Telenovela (Bisik Pada Langit) dan beliau pernah popular dengan lagu Ayam suatu ketika dahulu.
Mengucapkan taziah kepada seisi keluarga arwah, Haifz mewakili SENIMAN berkata, sumbangan Jalil kepada industri akan dikenang sepanjang zaman.
“SENIMAN merakamkan jutaan terima kasih atas segala pengorbanan, pandangan, ilmu dan kerjasama dalam program-program Seniman sebelum ini bersama arwah Jalil Hamid.
“SENIMAN mendoakan agar roh nya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman, Seniman juga berharap seluruh keluarga arwah reda dan sabar atas pemergian beliau,” tambahnya.-MalaysiaGazette
















