Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada Khamis ini.

Bagaimanapun, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata,  BNM perlu mempertimbangkan kenaikan pada akhir tahun ini kerana OPR tidak dinaikkan sejak Mac 2023.

Menurutnya, tekanan kenaikan kadar yang masih terhad ini mencerminkan berita kewangan yang baik untuk pengguna dan perniagaan di Malaysia.

Jelas beliau, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar suku pertama sebanyak 5.3% menunjukkan ekonomi kekal berdaya tahan walaupun dalam ketidaktentuan semasa global.

“Namun, seiring pertumbuhan, inflasi juga meningkat, walaupun masih sederhana. Bank Negara turut menaikkan unjurannya dengan menyatakan inflasi boleh mencecah 2.5% pada 2026.

“Ringkasnya, terdapat asas untuk menjangkakan satu kenaikan kadar pada akhir tahun, namun ia bergantung kepada prestasi ekonomi dan inflas dari sekarang hingga tempoh tersebut.

“Justeru bagi mesyuarat Mei ini, alasan untuk mengekalkan kadar adalah kukuh,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Kashif Ansari
Bahkan, tarif baharu Presiden Donald Trump juga boleh menjejaskan eksport Malaysia.
Namun, ketidaktentuan ini dijangka tidak akan mengubah keputusan MPC dalam mesyuarat pada 7 Mei,” katanya.

Mengulas implikasi kepada hartanah jika OPR dikekalkan, Kashif Ansari berkata, pasaran kini berada pada tahap yang baik, dan keputusan Khamis ini akan mengekalkannya.

Kadar yang stabil bermakna bayaran pinjaman perumahan pemilik rumah kekal stabil dan pembeli baharu mempunyai lebih kepastian terhadap komitmen bayaran mereka.

“Bagi pinjaman rumah tipikal RM450,000 untuk tempoh 30 tahun, penurunan kadar sebanyak 25 mata asas boleh mengurangkan sekitar RM60 hingga RM70 sebulan daripada bayaran balik.

“Kenaikan pada kadar sama pula akan menambah jumlah tersebut kepada kos. Walaupun kadar dinaikkan tahun ini, kesannya kepada kos keseluruhan adalah tidak besar,” jelas beliau.

Katanya, persekitaran kadar faedah semasa adalah baik untuk hartanah kediaman.

Rumah yang paling mendapat permintaan ialah dalam julat harga RM300,000 hingga RM600,000 di kawasan pinggir Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

“Johor terus wajar diberi perhatian khusus. Harga rumah di negeri itu meningkat 6.9% tahun lalu, tertinggi berbanding negeri lain, dan pelaburan rentas sempadan serta infrastruktur menunjukkan permintaan akan terus berkembang.

“Kesimpulannya, keputusan Khamis ini dijangka mengekalkan kadar pada 2.75%. Ekonomi akan terus berkembang dan pasaran hartanah akan terus kukuh,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast