KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warganegara Bangladesh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan MyKad milik orang lain bagi pembelian petrol BUDI95.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhi hukuman itu terhadap Md. Jakir Hossain, 50, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan penjara selama 14 bulan. Denda itu dijelaskannya.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Md Jakir didapati memiliki dan menggunakan dua kad pengenalan warga tempatan masing-masing milik lelaki dan perempuan berusia 25 dan 31 tahun, tanpa kuasa atau alasan yang sah bagi tujuan pembelian petrol bersubsidi.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Pahang di sini antara 8 Februari dan 22 April lalu dan didakwa di bawah peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara boleh sampai tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Carmen Low yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman denda dengan alasan tertuduh merupakan penanggung utama keluarga.
“Tertuduh bekerja sebagai pembantu stesen minyak dan mempunyai masalah penyakit jantung,” kata peguam itu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kedua-dua mangsa telah mengalami kerugian.
“Tertuduh mempunyai pilihan untuk kembalikan MyKad tapi tertuduh membeli petrol walaupun mengetahui ia bukan miliknya,” kata pendakwa.
Berdasarkan ringkasan kes, pengadu yang merupakan seorang wanita berusia 31 tahun menyatakan pada 22 April lalu dia mendapati baki subsidi BUDI95 berkurangan daripada 94.937 liter kepada 44.637 liter.
Pengadu mengesyaki kad pengenalannya telah digunakan tanpa izin untuk mengisi minyak menggunakan subsidi tersebut.
Setelah menghubungi Budi Madani Contact Centre, mangsa dimaklumkan berlaku lima transaksi mencurigakan di sebuah stesen minyak menggunakan kad pengenalannya yang hilang pada 21 April lalu. – MalaysiaGazette















