Hannah Yeoh mengumumkan pewartaan tambahan empat kawasan hijau dan tanah lapang awam di Kuala Lumpur bagi memastikan ruang komuniti terus dipelihara untuk kegunaan rakyat.

KUALA LUMPUR – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) hari ini mengumumkan pewartaan tambahan melibatkan empat lagi kawasan hijau dan tanah lapang awam di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah itu menjadikan jumlah keseluruhan kawasan hijau dan lapang yang telah diwartakan kini meningkat kepada 543 kawasan.

Menurut beliau, empat tapak yang diwartakan itu melibatkan dua kawasan lapang di Jalan Damai Puspa, Alam Damai serta taman permainan dan dewan komuniti di Persiaran Lemak, Taman Segar, Cheras.

“Pewartaan ini penting bagi memastikan kemudahan sedia ada terus kekal sebagai ruang awam untuk kegunaan rakyat khususnya di kawasan bandar padat seperti Taman Segar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hannah berkata, usaha mempercepatkan pewartaan kawasan hijau dan lapang turut mengambil kira keperluan golongan warga emas yang semakin ramai menetap di Kuala Lumpur.

“Kita mempunyai ramai penduduk tua yang berpindah ke Kuala Lumpur menyebabkan ruang tanah ini sangat penting.

“Kami mempunyai pasukan yang bekerja melawan masa untuk mewartakan sebanyak mungkin tanah supaya penduduk tua kita mempunyai ruang beriadah,” katanya.

Tambah beliau, pewartaan tersebut juga merupakan antara permohonan yang telah lama dibawa oleh penduduk setempat bagi memastikan kawasan berkenaan terus kekal sebagai kemudahan awam untuk komuniti.

Sebelum ini, sebanyak 494 kawasan telah diwartakan pada 5 Februari lalu sebelum tambahan 45 kawasan lagi diumumkan pada 15 April 2026.

Kurang tiga minggu selepas pengumuman terdahulu, JWP sekali lagi mempercepat usaha pewartaan kawasan hijau dan lapang di Kuala Lumpur sebagai langkah memelihara ruang awam daripada pembangunan tidak terkawal.

Orang ramai boleh menyemak senarai penuh kawasan yang telah diwartakan menerusi portal rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast