GEORGE TOWN – Seorang pembantu kedai kopi didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas 14 pertuduhan termasuk menghalang penjawat awam, memandu secara berbahaya serta merosakkan 12 kenderaan pada bulan lalu.
Tertuduh, S. Prassanndh, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi dan Nur Fadrina Zulkhairi.
Mengikut pertuduhan, 12 kesalahan dikemukakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan masing-masing satu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagi pertuduhan di hadapan Nadratun, tertuduh didakwa atas lima pertuduhan termasuk menghalang seorang koperal polis menjalankan tugas awamnya serta memandu secara berbahaya dari Jalan Persiaran Gurney ke Bayan Baru.
Manakala tiga lagi pertuduhan melibatkan khianat dengan merosakkan tiga kenderaan iaitu Perodua Alza, Isuzu dan Toyota Alphard dengan kerugian antara RM700 hingga RM1,000.
Sementara itu, di hadapan Nur Fadrina pula, tertuduh didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan khianat ke atas kenderaan jenis Perodua Myvi, Axia, Proton Saga, Volkswagen, Jeep, Hyundai, Toyota Yaris dan Proton X70, dengan kerugian keseluruhan dianggarkan melebihi RM10,000.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 9 pagi hingga 10.20 pagi di beberapa lokasi sekitar Jalan Tanjung Bungah, Persiaran Gurney, Jalan Sungai Pinang, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Jalan Burma dan Jalan Pak Chong.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad dan Lau Shavin, manakala tertuduh diwakili peguam M. Sharmila Shanthini Mogan.
Ketika prosiding yang dijalankan di dua mahkamah berkenaan, Sharmila memohon jaminan minima terhadap anak guamannya atas alasan tertuduh perlu menanggung isteri dan seorang anak berusia tujuh tahun selain dia tidak mempunyai pendapatan yang tetap.
Selepas mendengar rayuan tersebut, mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin secara keseluruhannya sebanyak RM56,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Jun depan.
Media pada Isnin lalu melaporkan seorang lelaki ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan melanggar 12 kenderaan ketika melarikan diri daripada pemeriksaan polis.
Dalam kejadian pada 30 April lalu, anggota peronda polis (MPV) dikatakan menjalankan rondaan di Jalan Tanjung Bungah telah mengesan sebuah kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.
Anggota meminta suspek memberhentikan kenderaannya namun dia bertindak memecut kereta dari Jalan Tanjung Bungah ke kawasan Bayan Baru.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan menerima 12 laporan daripada mangsa yang mendakwa kenderaan mereka mengalami pelbagai kerosakan akibat insiden terbabit.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 43 saat. – MalaysiaGazette
















