KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan tiada sebarang cadangan untuk menukar Menteri Besar Negeri Sembilan biarpun parti itu mengambil pendirian menarik sokongan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tersebut bukan bertujuan menjatuhkan kerajaan negeri, sebaliknya berpunca daripada hilang kepercayaan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO terhadap Aminuddin.
Menurut beliau, pada masa sama, UMNO tetap komited mempertahankan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tidak ada cadangan (untuk tukar Menteri Besar Negeri Sembilan sekarang),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid menjelaskan punca utama UMNO menarik sokongan terhadap Aminuddin adalah kerana dakwaan campur tangan beliau dalam urusan Undang-undang Adat Negeri Sembilan.
“Kita bukan menolak tetapi tidak menyokong selagi beliau campur tangan di dalam Undang-undang Adat Negeri Sembilan dan kita mahu supaya soal pemerintah di Negeri Sembilan antara Yang di-Pertuan Besar dan empat Undang itu harus dihormati dan biarlah mereka yang menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan berkata, tiada pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan baharu boleh dilakukan selagi kemelut adat melibatkan institusi diraja negeri itu belum diselesaikan.
Menurut beliau, ketika ini masih wujud konflik dalam institusi diraja Negeri Sembilan membabitkan Yang di-Pertuan Besar dan Datuk-Datuk Undang, justeru semua pihak perlu menghormati proses penyelesaian dalaman institusi berkenaan.
“Kita hormat institusi itu. Kita jangan campur dan tidak boleh masuk campur. Perkara itu mesti diselesaikan dalam institusi tersebut sendiri.
“Tetapi selagi isu dan masalah itu belum selesai, implikasinya tidak boleh ada apa-apa keputusan besar dibuat,” katanya ketika berucap pada ceramah perdana pimpinan utama Pakatan Harapan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi. – MalaysiaGazette
















