Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin didakwa di atas pertuduhan rasuah ketika di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 DESEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin merayu ke Mahkamah Rayuan agar lima pertuduhan rasuah yang dihadapinya, dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Tertuduh merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 April lalu yang menolak permohonannya selepas berpuas hati beliau selaku pemohon tidak memenuhi syarat mengikut Seksyen 417 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Pada prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen hari ini, peguam bela Shamsul Iskandar, Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan pembelaan sudah memfailkan notis rayuan pada 6 Mei lalu.

Beliau turut memaklumkan, pembelaan belum memuktamadkan sama ada untuk menangguhkan perbicaraan ekoran rayuan tersebut.

“Buat masa ini, kami ikut prosiding sedia ada dan memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memberitahu mahkamah, beberapa dokumen bagi perbicaraan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Menurut Farah Ezlin, ada beberapa dokumen lain belum diserahkan dan ia akan dilampirkan dalam masa terdekat.

Hakim Suzana Husin kemudian menetapkan 29 Jun ini bagi sebutan semula kes.

Melalui permohonan difailkan pada 4 Februari lalu, Shamsul Iskandar melalui peguamnya menghujahkan bahawa kes rasuah terhadapnya membabitkan persoalan Perlembagaan dan isu perundangan yang kompleks.

Ia termasuk perkara berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan menegaskan pemindahan itu tidak akan memudaratkan mana-mana pihak, malah akan memudahkan penentuan isu yang dibangkitkan dengan lebih teratur.

Pada 4 Disember 2025, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas tuduhan bersetuju menerima RM100,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing, 37.

Penerimaan itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat Albert mendapatkan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun perkara itu tidak berkaitan dengan tugas rasminya.

Beliau juga berdepan satu lagi tuduhan menerima wang tunai RM40,000 daripada individu sama bagi tujuan sama, selain dua pertuduhan menerima rasuah kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai masing-masing RM14,580.03 dan RM22,249.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya; di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin di sini dan di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024, serta antara 24 November 2023 ga dan 5 Mac 2024.

Pada 5 Disember tahun lalu, beliau turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM62,924 daripada Tei di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 dan 23 September 2024.

Suapan itu didakwa dimasukkan dalam akaun bank seorang wanita bagi tujuan sewaan rumah di Kuala Lumpur sebagai dorongan untuk membantu syarikat Albert mendapatkan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast