Saifuddin Nasution Ismail ketika meninjau perkembangan projek RTS Link Johor Bahru-Singapura di ICQS di Stesen Bukit Cagar, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Pelaksanaan fungsi pelepasan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) secara bersama (co-located) antara Malaysia dan Singapura akan dilakukan apabila perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura beroperasi tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, konsep co-located itu akan menempatkan agensi dan pasukan keselamatan di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Kompleks Kastam Woodland, Singapura.

Jelas beliau, agensi dan pasukan keselamatan dari republik tersebut juga akan ditempatkan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

“Kita sama-sama bersetuju untuk memberi tumpuan khusus bagi menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP) supaya operasi fasiliti co-located di di RTS Link dapat berjalan lancar, tersusun dan selamat.

“Kaedah yang kita persetujui ialah co-located bermaksud agensi penguat kuasa Singapura akan berada di sini dan agensi kita berada di Woodlands dalam fasiliti yang sama.

“Mereka akan menjalankan tugasan pemeriksaan imigresen, keselamatan, pengendalian insiden, komunikasi operasi dan tindak balas kecemasan, semua ini perlu diselaraskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau kemajuan projek RTS Link Johor Bahru-Singapura di ICQS, Stesen Bukit Cagar di sini, hari ini.

Katanya, sebelum konsep co-located itu dilaksanakan, Malaysia dan Singapura bagaimanapun perlu mempunyai domestic law.

“Ini bagi membolehkan agensi penguat kuasa Singapura menjalankan operasi dalam wilayah kita dan penguat kuasa kita menjalankan operasi dalam wilayah Singapura, kedua-duanya negara berdaulat, maka ada keperluan untuk mewujudkan domestic law terlebih dahulu.

“Kita telah pun selesai. Saya telah bentangkan pada tahun lepas dan telah diluluskan. Proses pewartaan sedang berjalan mengikut timeline kita. Singapura juga perlu mengadakan domestic law mereka. Kemudian baharulah kita boleh melaksanakan pendekatan co-located,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast