Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mempertimbangkan pendekatan lebih mesra kemanusiaan dengan melonggarkan syarat permohonan Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas) bagi membantu golongan tanpa negara atau stateless di Sabah mendapatkan identiti rasmi.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, isu berkenaan melibatkan generasi masyarakat yang lahir di Malaysia namun terus hidup tanpa dokumen pengenalan diri.

Menurut beliau, kebanyakan mereka bukan pendatang asing yang baru memasuki negara ini, sebaliknya keturunan generasi ketiga hingga keenam yang membesar di Sabah tanpa status kewarganegaraan jelas.

Katanya, sebahagian ibu bapa kepada golongan terbabit memasuki Sabah secara sah sekitar era 1970-an dan pernah diberikan dokumen tertentu oleh kerajaan negeri ketika itu.

“Ini bukan isu PATI yang baru masuk atau tinggal melebihi tempoh dibenarkan. Mereka lahir di Malaysia, ada rekod kelahiran atau bukti berkaitan tetapi tidak memiliki kewarganegaraan asing,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Hishamuddin berkata, masyarakat stateless perlu dibezakan daripada pendatang tanpa izin kerana keluarga mereka sebelum ini pernah diberikan kebenaran tinggal serta dokumen rasmi tertentu.

Menurut beliau, antara dokumen yang pernah digunakan termasuk IMM13, dokumen Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), banci serta beberapa bentuk pengenalan lain yang digunakan di Sabah sejak puluhan tahun lalu.

“Kita kena bezakan antara PATI dan pendatang yang masuk dengan izin. Masalah timbul apabila pewarisan dokumen kepada generasi seterusnya dihentikan sehingga anak cucu mereka akhirnya hidup tanpa identiti,” katanya.

Beliau berkata, ada dalam kalangan masyarakat terbabit kini sudah memasuki generasi kelima dan keenam, namun masih gagal memperoleh sebarang dokumen pengenalan walaupun dilahirkan di negara ini.

Hishamuddin turut mendedahkan perjuangan MHO dalam isu berkenaan bermula sejak 2021 selepas menerima pelbagai aduan membabitkan tahanan stateless di depoh imigresen.

Menurut beliau, terdapat individu yang ditahan berbulan-bulan malah sehingga beberapa tahun hanya kerana masalah dokumentasi walaupun tidak terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah.

“MHO kemudian mengemukakan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Sabah sehingga beberapa tahanan dibebaskan atas faktor kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini mencadangkan kerajaan menggunakan sistem MyKas sedia ada sebagai penyelesaian lebih praktikal berbanding mewujudkan dokumen baharu, namun syarat permohonannya perlu diperhalusi semula supaya lebih inklusif kepada golongan stateless. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast