Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengiktiraf peranan suri rumah sebagai satu bentuk sumbangan besar kepada pembangunan negara termasuk memperkenalkan pelan perlindungan persaraan yang lebih menyeluruh untuk golongan itu.

Presiden PPP Malaysia, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, antara langkah yang perlu dipertimbangkan termasuk skim insurans percuma, elaun bulanan serta jaminan kewangan jangka panjang bagi memastikan kebajikan suri rumah terus terbela.

Menurut beliau, golongan suri rumah memainkan peranan penting dalam membina institusi keluarga yang stabil dan melahirkan generasi berpendidikan serta berjaya.

Katanya, ramai wanita sanggup mengorbankan kerjaya dan masa depan mereka demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan anak-anak.

“Namun pengorbanan itu turut menyebabkan ramai suri rumah kehilangan peluang kerjaya, simpanan persaraan serta kebebasan kewangan sendiri.

“Bertahun-tahun menumpukan perhatian kepada tanggungjawab keluarga juga memberi kesan terhadap kesihatan fizikal dan mental mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keadaan menjadi lebih sukar apabila sebahagian suri rumah tidak mempunyai perlindungan insurans untuk mendapatkan rawatan kesihatan yang lebih baik ketika berdepan masalah kesihatan.

Selain itu, katanya, ramai juga tidak mempunyai simpanan sendiri bagi menampung keperluan peribadi atau masa depan mereka.

Tambah beliau, peranan seorang ibu dan suri rumah merupakan antara sumbangan paling besar kepada masyarakat kerana mereka menjadi asas kepada pembentukan keluarga dan negara yang lebih kukuh.

“Tanpa pengorbanan dan dedikasi mereka, kita mungkin tidak berada pada tahap pembangunan seperti hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan segera merangka dasar dan langkah khas bagi melindungi kebajikan, kesihatan serta jaminan masa depan semua suri rumah di negara ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast