Kesemua 73 pelajar berkenaan dibawa pulang oleh keluarga masing-masing.

BUKIT MERTAJAM – Seramai 73 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maahadul Islami Tasek Junjung di Simpang Ampat di sini, dipindahkan dengan selamat selepas kawasan sekolah berkenaan dilanda banjir kilat malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.19 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam bergegas ke lokasi dan mendapati beberapa kawasan di dalam kawasan sekolah dinaiki air setinggi kira-kira 0.3 meter susulan hujan lebat serta peningkatan paras air sungai.

“Ketika pasukan bomba tiba di lokasi, air sudah mula surut dan keadaan berada dalam keadaan terkawal.

“Anggota kemudian menjalankan pemantauan memandangkan ketika kejadian pelajar masih berada di asrama sekolah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambah beliau, kesemua 73 pelajar terdiri daripada 39 pelajar perempuan dan 34 pelajar lelaki yang menetap di asrama sekolah berkenaan dilaporkan berada dalam selamat tanpa sebarang kecederaan.

Katanya, pihak pengurusan sekolah turut menghubungi keluarga pelajar terlibat bagi urusan membawa pulang mereka.

“Air banjir kemudiannya surut sepenuhnya dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.30 malam.

“Operasi turut dibantu oleh anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast