PEKAN – Kompleks Sukan Komuniti Pekan yang dinaik taraf dan dibina semula dengan kos keseluruhan kira-kira RM4 juta akhirnya dibuka secara rasmi hari ini selepas penantian hampir enam tahun.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang, Nor Azli Mohamad Daud berkata, projek itu merupakan antara kemudahan sukan yang dinanti-nantikan masyarakat setempat khususnya warga Pekan.
Menurutnya, pembukaan kompleks tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti setempat menerusi penyediaan pelbagai fasiliti sukan moden dan lebih selesa.
“Alhamdulillah hari ini saya hadir ke Kompleks Sukan Komuniti Pekan untuk membuka secara rasmi kompleks ini bagi kegunaan komuniti dan masyarakat.
“Ini satu projek yang sangat dinanti-nantikan oleh masyarakat di Pekan selepas hampir enam tahun projek naik taraf dan pembinaan baharu dimulakan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian kompleks itu, hari ini yang turut dihadiri Pegawai Daerah Pekan, Azora @ Ahmad Shamsudin serta wakil Jabatan Kerja Raya (JKR).

Nor Azli berkata, antara fasiliti baharu yang disediakan meliputi gelanggang futsal, pickleball, bola tampar dan sepak takraw selain kemudahan sedia ada yang turut dinaik taraf seperti gelanggang badminton, bola jaring serta gimnasium.
Katanya, kerja naik taraf turut melibatkan penambahbaikan dewan termasuk aspek bumbung dan fasiliti dalaman.
“Kompleks ini mempunyai kira-kira 10 fasiliti sukan yang ditambah baik dan dibina semula. Sebelum ini kebanyakan aktiviti hanya dijalankan di dalam dewan sahaja, namun kini kita mempunyai fasiliti luar seperti futsal dan pickleball,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai boleh membuat tempahan fasiliti menerusi portal rasmi jabatan dengan sistem pembayaran tanpa tunai menggunakan JomPay.
Menurutnya, penggunaan sistem secara dalam talian itu dijangka memudahkan urusan tempahan dan pembayaran oleh pengguna.
Dalam pada itu, beliau berkata, kadar sewaan fasiliti yang ditawarkan juga lebih kompetitif dan murah berbanding kemudahan swasta.
“Kita menggalakkan seluruh komuniti dan warga Pekan menggunakan fasiliti ini semaksimum mungkin bagi menjalankan aktiviti sukan yang lebih teratur dan berfaedah,” katanya.

Mengulas mengenai kelewatan siap projek terbabit, Nor Azli menjelaskan pandemik Covid-19 menjadi faktor utama sehingga menyebabkan kontraktor asal gagal meneruskan kerja dan mengakibatkan peningkatan kos pembinaan.
Katanya, pihak kementerian sebelum ini telah memberikan beberapa lanjutan masa (EOT), namun kontraktor masih gagal menyiapkan projek sebelum kontrak ditamatkan.
“Kita kemudian melantik kontraktor penyelamat pada tahun 2024 dan kos tambahan hampir sama dengan kos asal iaitu sekitar RM1.9 juta.
“Jadi, secara keseluruhan kos pembinaan baharu dan naik taraf kompleks ini mencecah kira-kira RM4 juta,” katanya.
Beliau turut berharap kewujudan kompleks itu dapat merancakkan lagi pembangunan sukan di daerah Pekan termasuk penubuhan lebih banyak kelab dan persatuan sukan baharu.
Katanya, Persatuan Pickleball Daerah Pekan juga telah menerima sijil pendaftaran secara rasmi hari ini, sekali gus menunjukkan perkembangan positif sukan berkenaan di daerah tersebut.

Selain itu, beliau turut menggalakkan komuniti setempat memanfaatkan geran atau dana sukan komuniti yang disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi permohonan secara dalam talian. – MalaysiaGazette
















