BUKIT MERTAJAM – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang akan menghantar surat kepada Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mempertimbangkan pembinaan tambahan dan benteng Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maahadul Islami Tasek Junjung di Simpang Ampat di sini, susulan kejadian banjir kilat yang kerap melanda sekolah berkenaan.
Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, sekolah yang terletak di kawasan rendah berhampiran sungai itu sering dilanda banjir setiap tiga bulan sekali sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kelancaran sesi pembelajaran murid.
“Kita akan hantar surat kepada BPI KPM untuk mempertimbangkan pendekatan baharu sama ada pembinaan baharu dan benteng untuk elakkan kekerapan banjir berulang yang boleh mengganggu kelas anak-anak kita.

“Pihak kami juga akan mengemukakan cadangan kepada KPM bagi mendapatkan peruntukan pembinaan tambahan untuk mengatasi masalah kawasan rendah di sekolah ini.
“Selain itu, faktor keselamatan turut menjadi kebimbangan terutamanya risiko kehadiran haiwan berbisa ketika banjir berlaku selain arus deras memandangkan sekolah ini terletak berhampiran dengan sungai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamad Dziauddin meninjau kerja pembersihan lumpur banjir di sekolah berkenaan yang dilakukan oleh pengetua, Saliza Zainol serta guru sekolah dengan kerjasama pelbagai agensi yang terlibat.
Antara yang hadir Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Institut Pendidikan Guru (IPG) Tunku Bainun, IPG Pulau Pinang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah serta Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 191 pelajar terjejas akibat kejadian itu termasuk 77 pelajar yang tinggal di asrama sekolah berkenaan.

“Setakat yang kita lihat, pembelajaran tidak terjejas dan sesi persekolahan bersemuka dimulakan, cuma kita perlu baik pulih kerusi, meja dan sebagainya supaya keadaan lebih selesa.
“Buat masa sekarang, kita mencadangkan sesi pembelajaran bermula seperti biasa, namun pemantauan terhadap keadaan cuaca petang ini masih dilakukan.
“Sekiranya hujan berterusan petang ini, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan esok. Jika keadaan cuaca mengizinkan, sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pelaksanaan PdPR di SMA Al-Maahadul Islami Tasek Junjung susulan banjir kilat
MalaysiaGazette hari ini melaporkan JPN negeri melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekolah berkenaan susulan banjir kilat malam tadi yang mengakibatkan sekolah tersebut dipenuhi lumpur.
Dalam kejadian jam 7.19 malam, seramai 77 pelajar sekolah berkenaan yang berada di asrama dibawa pulang oleh keluarga masing-masing akibat sekolah berkenaan dilanda banjir kilat. – MalaysiaGazette
















