KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN), Mujibburrahman Abd Rashid akan memangku jawatan sebagai ketua eksekutif susulan peralihan Datuk Jay Khairil ke Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP].

Mujibburrahman telah berkhidmat di BSN sejak tahun 2018 serta mempunyai pengalaman yang luas dalam operasi serta pengurusan dan perniagaan perbankan.

BSN dalam kenyataannya berkata, Jay Khairil telah berkhidmat di BSN sejak Februari 2021, membawa bersama lebih tiga dekad pengalaman dalam sektor perbankan dan perkhidmatan kewangan.

Jay Khairil

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai ketua eksekutif, BSN telah diperkukuh dari segi mandat, hala tuju strategik serta keyakinan pelanggan.

Prestasi kewangan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, menerusi pendapatan berasaskan fi meningkat dengan CAGR (kadar pertumbuhan tahunan kompaun) 8.4%
dan pembiayaan berkembang dengan CAGR 8.1%.

Pada masa yang sama, kestabilan deposit runcit dan kepelbagaian sumber pendapatan terus mengukuhkan asas pertumbuhan yang mampan.

“Pendekatan proaktif dan konsisten beliau telah memposisikan BSN sebagai perintis utama mikro kewangan negara melalui pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi. Lebih 72,000 peniaga mikro dan kecil telah dibantu dengan pembiayaan berjumlah RM2.2 bilion, sekali gus menempatkan BSN sebagai peneraju pasaran dengan pegangan 66%.

“Dari aspek transformasi digital, hampir 50% pelanggan telah beralih ke myBSN, dengan lebih 75% transaksi perbankan kini dilaksanakan melalui platform tersebut,” menurut BSN.

Pengerusi BSN, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin dalam kenyataan turut  merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jay Khairil atas dedikasi, kepimpinan dan kejayaan beliau sepanjang menerajui BSN.

“Beliau merupakan faktor utama kepada pengukuhan prestasi kewangan dan mandat sosial BSN, selain memperkukuh tadbir urus serta memperluas rangkuman kewangan, sekali gus menempatkan BSN sebagai sebuah institusi kewangan yang mampan dan berdaya tahan.

“Semoga beliau terus berjaya dalam menerajui tanggungjawab dan peranan baharu beliau,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast