Mohd Hisham Harun (tengah)

MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pakej ziarah luar Tanah Haram ke Taif dan Jeddah yang dikendalikan pihak tidak berkaitan sepanjang musim haji ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, pergerakan keluar dari Tanah Haram ketika musim haji bukan sahaja melibatkan aspek keselamatan, malah mempunyai implikasi tertentu dari sudut ibadah.

Apatah lagi,  jemaah masih dalam keadaan berniat haji.

“Pergerakan keluar daripada Tanah Haram ketika masih dalam ihram haji mempunyai tatacara khusus dan ada implikasi hukum tertentu.

“Justeru, kami ingin menasihatkan para jemaah untuk rujuk terlebih dahulu kepada pihak TH sebelum bersetuju dengan mana-mana tawaran pakej ziarah daripada pihak luar bagi mengelakkan kesulitan di kemudian hari.

“Para jemaah boleh berhubung dengan pihak Pembimbing Ibadat Haji dan kami juga ada barisan Pakar Rujuk yang arif, bagi mengelakkan jemaah perlu membayar dam sekiranya ada perbuatan yang melanggar tatacara manasik haji,” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Hisham turut menjelaskan, TH ada menyediakan pakej ziarah menerusi kerjasama dengan Holiday Inn Barakah (HIB), namun program tersebut hanya akan dilaksanakan selepas selesai musim haji.

Jelasnya, individu-individu yang pergi ke Taif atau Jeddah ketika ini sebenarnya bukan melalui program rasmi bersama TH, lantaran itu menggalakkan piahk yang mahu menyertai ziarah luar berbuat demikian selepas musim haji kerana ia lebih selamat dan teratur.

Buat masa ini, kata beliau, TH mahu jemaah mengutamakan kesihatan dan keselamatan menjelang hari wukuf.

“Kita mahu jemaah fokus kepada persediaan ibadah haji dan menjaga kesihatan masing-masing. Kalau jemaah berada di Makkah, TH masih boleh memantau keberadaan mereka. Tetapi jika mereka keluar ke Taif atau Jeddah dengan pihak yang tidak diketahui latar belakangnya, ia menyukarkan pemantauan,” katanya.

Tambah beliau, terdapat risiko jemaah ditinggalkan di pertengahan perjalanan atau dikenakan caj tambahan oleh pihak tertentu yang tidak mempunyai kaitan dengan TH.

“Kita tidak tahu latar belakang syarikat kenderaan yang membawa mereka (jemaah) keluar. Kalau berlaku masalah, TH sukar membantu kerana mereka tidak berdaftar dengan TH,” tambah beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan jemaah yang ingin mengikuti program ziarah luar Makkah supaya menangguhkannya sehingga selesai musim haji.

“Melalui pakej bersama TH, kita tahu siapa yang mendaftar dan ke mana mereka pergi. Jika jemaah bergerak sendiri tanpa pengetahuan TH, ia boleh membahayakan keselamatan mereka sendiri,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast