ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz bercakap pada Program SKOPMG di Studio MalaysiaGazette, Bandar Sri Permaisuri Cheras, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 MAC 2026.

JOHOR BAHRU – Isu korporat mafia dan  pemilikan saham Tan Sri Azam Baki tidak boleh ‘dicuci’ apabila tamatnya khidmat beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 12 Mei ini.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz berkata, dakwaan itu tidak boleh dibersihkan begitu sahaja selepas kontrak Azam ditamatkan dan bersara daripada SPRM.

“Tak kiralah apa naratif yang kerajaan nak mainkan, nak kata yang inilah tanda reformasi berjalan ataupun inilah tanda yang PMX dengar suara rakyat, ada satu benda yang kita kena ingat.

“Kes pemilikan saham Azam Baki dan korporat mafia masih lagi tak ada penjelasan.

“Apa jadi dengan jawatankuasa siasatan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara? Mana hasil siasatan tersebut,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejak Februari dimaklumkan siasatan masih berjalan dan hampir siap tetapi sampai sekarang tiada apa-apa berita atau perkembangan yang rakyat boleh ketahui.

Justeru katanya, MUDA pertamanya menuntut supaya laporan lengkap hasil pemilikan saham Azam yang masih tertangguh dikeluarkan.

“Kedua, tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat apa yang berlaku dengan isu mafia korporat supaya ada siasatan yang telus dan adil.

“Kerajaan jangan ingat yang rakyat Malaysia akan lupa dan rakyat Malaysia tidak berani untuk turun protes dan tuntut dua perkara ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast