Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika hadir merasmikan Malaysia China Forum on EV, Battery and New Energy di Asia School Business, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan peralihan ke arah kenderaan elektrik (EV), teknologi bateri dan sistem tenaga baharu kini menjadi sempadan pertumbuhan strategik negara yang tidak boleh lagi dilihat secara berasingan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peralihan ini telah berkembang menjadi revolusi industri paling penting pada masa kini.

“Pada tahun 2025 sahaja, jualan EV global telah mencecah kira-kira 21 juta unit, di mana satu daripada setiap empat kereta baharu yang dijual di seluruh dunia adalah kenderaan elektrik.

“Melihat kepada momentum tersebut, Malaysia telah membuat keputusan jelas untuk tidak sekadar menjadi pengguna pasif, sebaliknya mahu menjadi peserta aktif dalam ekosistem EV dan tenaga bersih di peringkat serantau.

“Di bawah agenda mobiliti rendah karbon kebangsaan, Malaysia menyasarkan kenderaan elektrik merangkumi 15 peratus daripada jumlah volum industri menjelang 2030, dan 80 peratus menjelang 2050,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Forum Malaysia-China mengenai Pembangunan Bakat dan Inovasi EV, Bateri dan Tenaga Baharu (MCEF 2026) di sini hari ini.

Beliau berkata, di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan 70 peratus kapasiti terpasang tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.

“Transisi ini bukan sekadar terhad kepada kenderaan semata-mata, malah merangkumi keseluruhan ekosistem termasuk bateri, infrastruktur pengecasan, semikonduktor, sistem perisian serta kesediaan grid.

“Matlamat utama negara adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu, menarik pelaburan bernilai tinggi serta memperkukuh keupayaan industri bagi menyediakan rakyat mendepani ekonomi masa depan,” katanya lagi.

Beliau berkata, EV, bateri dan tenaga baharu mesti dilihat bersama dan bukan sebagai sektor yang berasingan.

“Jadikan ia sebagai sempadan pertumbuhan nasional yang strategik.

“Ia adalah peralihan mobiliti, peralihan tenaga, peralihan industri dan akhirnya, ia adalah peralihan bakat,” ujarnya.

Ahmad Zahid bergambar bersama wakil syarikat dari China dan Malaysia yang mengangkat TVET sebagai industri penting buat negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, walaupun teknologi mungkin membuka pintu dan pelaburan membina asas, namun bakat menjadi penggerak utama kepada kelangsungan tersebut.

“TVET kini bukan lagi sekadar laluan kedua, sebaliknya telah diangkat sebagai agenda nasional strategik.

“Biar saya jelaskan, TVET bukan pilihan alternatif. TVET adalah barisan hadapan kesediaan Malaysia untuk ekonomi masa depan,” katanya lagi.

Katanya, keputusan sudah terbukti apabila tahun lepas, kebolehpasaran graduan nasional mencecah 95.9 peratus berbanding 95.6 peratus pada 2024.

“Ini membuktikan apabila latihan selaras dengan industri, anak muda kita bukan sahaja boleh bekerja, tetapi sangat relevan kepada ekonomi,” tambahnya.

Jelasnya, Malaysia kini menyasarkan penciptaan 700,000 pekerjaan pembuatan baharu dan 500,000 pekerjaan ekonomi digital bagi memperkukuh daya saing negara.

Ahmad Zahid turut mempersoalkan sama ada persediaan yang dilakukan sekarang adalah untuk industri hari ini atau untuk menerajui industri hari esok.

“Model pendidikan tradisional sahaja tidak lagi mencukupi dan kurikulum sedia ada mesti menyesuaikan diri dengan lebih cepat.

“Industri mesti terlibat dengan lebih mendalam sebagai ‘reka bentuk bersama’ (co-designer) bakat,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast