KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Besar Selangor akan menyediakan makanan dan minuman kepada peserta `Himpunan Daulat Tuanku’ yang dirancang diadakan Sabtu ini di Pintu 1, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Shah Alam.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.
Terdahulu, ujarnya, beliau menyambut baik objektif perhimpunan itu yang juga selaras dengan pendirian konsisten kerajaan negeri dalam mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan institusi diraja di negeri Selangor.
“Semoga himpunan yang dirancang diadakan secara aman, tertib dan tidak menganggu ketenteraman awam.
“Saya telah berhubung dengan Ketua Polis Selangor dan memohon pihak polis memudah cara himpunan ini agar berjalan dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Sebelum ini, Pas Selangor bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengumumkan akan menganjurkan “Himpunan Daulat Tuanku” pada Sabtu ini sebagai tanda solidariti mempertahankan institusi diraja susulan kontroversi membabitkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, himpunan itu diadakan susulan beberapa tindakan dan kenyataan pemimpin DAP yang didakwa tidak menghormati kedaulatan Institusi Diraja di negeri berkenaan.
“Himpunan ini bertujuan untuk menzahirkan kesetiaan mutlak rakyat kepada titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta menegaskan kepentingan mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan Institusi Diraja di Negeri Selangor.
“Pada hari tersebut satu memorandum taat setia rakyat juga akan diserahkan ke Istana Kayangan,” kata Mohamed Sukri dalam satu kenyataan baru-baru ini. – MalaysiaGazette















