Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, bercakap pada sidang media mengenai operasi yang menangkap individu-individu yang terlibat dalam isu ‘ulat jurugambar’ di sekitar kawasan KLCC (Persiaran KLCC/Jalan Ampang) di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. Foto Muhaimin Marwan, 31 Mac 2026

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan terhadap empat individu yang ditahan berhubung insiden letupan mercun ketika Himpunan Tangkap Azam Baki pada 25 April lalu telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua suspek lelaki warga tempatan yang ditahan sebelum ini juga sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan.

“Kertas siasatan berhubung kes ini telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut berkaitan pertuduhan.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan setakat ini, hanya empat lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan secara ringkas hari ini.

Kekecohan berlaku apabila insiden letupan mercun terjadi ketika sebahagian peserta berarak dari Sogo menuju Dataran Merdeka sempena Himpunan Tangkap Azam Baki, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 APRIL 2026.

Sebelum ini media melaporkan, polis giat mengesan pelaku yang mencetuskan kekecohan dengan membakar mercun ketika penganjuran himpunan berkenaan.

Sazalee berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Jelas beliau, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada insiden pembakaran mercun tersebut merupakan satu bentuk sabotaj atau sebaliknya.

Terdahulu, kekecohan berlaku di Himpunan Tangkap Azam Baki pada 25 April lalu selepas mercun meletup di pekarangan hadapan pusat beli-belah Sogo di sini.

Kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang ketika ucapan kumpulan mahasiswa di atas pacuan empat roda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast