KUALA LUMPUR – Persepsi bahawa semua golongan T20 hidup mewah dan selesa disifatkan sebagai tidak tepat kerana ramai sebenarnya sedang bergelut menampung kos hidup yang semakin tinggi, khususnya di bandar-bandar besar.
Usahawan dan pengarah syarikat, Ramakrishnan Nair berkata, masyarakat hari ini terlalu mudah melabel golongan T20 sebagai ‘orang kaya’ hanya berdasarkan pendapatan bulanan, tanpa memahami beban kewangan sebenar yang ditanggung.
Katanya kepada MalaysiaGazette hari ini, ramai keluarga dalam kategori itu berdepan komitmen tinggi melibatkan pinjaman rumah, kenderaan, pendidikan anak, cukai, insurans serta pelbagai kos sara hidup lain.
“Ramai nampak mereka memandu kereta besar, tinggal di kondominium dan menghantar anak ke sekolah baik, tetapi ramai tidak nampak tekanan kewangan yang mereka tanggung setiap bulan.
“Gaji besar tidak bermakna seseorang itu benar-benar kaya,” katanya.
Beliau berkata, terdapat keluarga berpendapatan antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan, namun selepas ditolak pelbagai komitmen, baki yang tinggal amat kecil.
“Ada yang nampak senang di luar, tetapi sebenarnya penat bertahan setiap bulan,” katanya lagi.
Ramakrishnan turut mempersoalkan pendekatan yang sering menjadikan golongan T20 sebagai sasaran utama dalam langkah rasionalisasi subsidi.
Katanya, kerajaan perlu melihat realiti kehidupan semasa dan bukan sekadar menilai angka pendapatan semata-mata.
“Saya ingin tanya kepada Perdana Menteri, adakah kerajaan benar-benar memahami struktur kehidupan T20 hari ini atau hanya melihat jumlah gaji tanpa mengambil kira komitmen sebenar?” soalnya.
Beliau turut menegaskan terdapat perbezaan besar antara individu berpendapatan tinggi dengan mereka yang benar-benar memiliki kekayaan dan aset bernilai tinggi.
“Ada yang bergaji besar tetapi masih dibelenggu hutang. Dalam masa sama, ada juga yang pendapatan nampak sederhana tetapi memiliki aset, bangunan dan syarikat bernilai jutaan ringgit.
“Itu dua keadaan yang sangat berbeza,” katanya.
Menurut beliau, sistem klasifikasi pendapatan sedia ada mungkin sudah tidak lagi relevan dengan keadaan ekonomi semasa, terutama di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Katanya, kerajaan perlu menilai semula definisi T20 supaya golongan profesional, doktor, jurutera, pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mereka yang bekerja keras tidak terus menjadi mangsa persepsi.
“Isu ini bukan sekadar soal subsidi, tetapi soal keadilan ekonomi dan realiti kehidupan rakyat hari ini.
“Kadang-kadang yang nampak paling kaya itu sebenarnya paling rapuh dari segi kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette
















