Sebahagian daripada 1,520 liter petrol yang dirampas dalam Ops Tiris 4.0 di kawasan jambatan Kampung Air, Semporna selepas dipercayai cuba diseleweng.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna terus memperhebat tindakan penguatkuasaan menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di daerah itu.

Terbaharu, pihak KPDN menerima serahan kes rampasan tanpa tuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna membabitkan 1,520 liter minyak petrol yang dipercayai cuba diseleweng.

Rampasan tersebut dilakukan di kawasan atas jambatan Kampung Air, Semporna melibatkan 56 gelen putih mengandungi 1,400 liter petrol serta empat gelen biru berisi 120 liter petrol dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM7,600.

KPDN Semporna dalam kenyataan hari ini berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tujuan siasatan lanjut.

“Serahan melibatkan 1,520 liter minyak petrol yang dipercayai cuba diseleweng di kawasan atas jambatan Kampung Air, Semporna.

“Rampasan tersebut melibatkan 56 gelen putih berisi 1,400 liter petrol dan empat gelen biru berisi 120 liter petrol dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM7,600,” katanya.

KPDN turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

“Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta 122 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan berikutnya.

“Bagi orang perseorangan, pesalah juga boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast