Daniel Khoo

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta tidak terlalu bergantung kepada label pendapatan seperti T20 atau T10 untuk menarik subsidi dan pelbagai kemudahan kerana ramai dalam kategori itu sebenarnya turut berdepan tekanan ekonomi yang semakin mencabar.

Pemain industri logistik dan pengangkutan, Daniel Khoo berkata, persepsi bahawa semua golongan berpendapatan tinggi hidup mewah dan selesa sudah tidak lagi mencerminkan realiti sebenar masa kini.

Katanya kepada MalaysiaGazette, ramai dalam kalangan T20 dan T10 kini sedang bergelut menampung komitmen bulanan, kos operasi perniagaan, pinjaman bank serta peningkatan kos sara hidup.

“Saya sokong apa yang diperkatakan Ramakrishnan Nair dalam MalaysiaGazette. Ramai lihat golongan T20 atau T10 ini semuanya senang, tetapi hakikatnya ramai hanya sedang bertahan.

“Di bandar besar, walaupun pendapatan nampak tinggi di atas kertas, komitmen mereka juga sangat besar,” katanya hari ini dalam nada emosi.

Daniel yang juga Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkata, ramai dalam kalangan ahli perniagaan, golongan profesional dan pemilik syarikat kini berdepan tekanan aliran tunai serta ketidaktentuan ekonomi.

Katanya, ada yang terpaksa mengurangkan pekerja, menangguhkan pelaburan dan berjimat semata-mata untuk memastikan perniagaan terus bertahan.

“Mereka juga penyumbang besar kepada ekonomi negara melalui cukai, peluang pekerjaan dan aktiviti perniagaan.

“Jadi jangan mudah menghukum semua golongan ini seolah-olah mereka tidak lagi memerlukan bantuan atau subsidi,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan kriteria digunakan kerajaan dalam menentukan klasifikasi pendapatan rakyat ketika keadaan ekonomi masih mencabar.

Menurutnya, pendapatan kasar semata-mata tidak lagi sesuai dijadikan ukuran kerana kos kehidupan di setiap kawasan berbeza selain ramai yang menanggung hutang dan komitmen tinggi.

“Ada yang nampak mewah di luar tetapi sebenarnya rapuh dari segi kewangan.

“Sebab itu kerajaan perlu melihat keseluruhan realiti kehidupan rakyat dan bukan sekadar angka atau label seperti T20 dan T10,” tegasnya. -MalaysiaGazette

Bukan semua T20 kaya-raya, ramai hanya sekadar bertahan hidup – Ramakrishnan Nair

MTEN Peringkat Akhir Teliti Mekanisme Subsidi Petrol Golongan Kaya – PM Anwar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast