Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini meningkatkan hukuman penjara terhadap seorang lelaki warga Bangladesh daripada enam bulan kepada 18 bulan selepas didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan lima wanita termasuk seorang pelancong warga Jerman.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas kes melibatkan Romjan Ali, yang dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk semakan hukuman.

Mahkamah turut memerintahkan pekerja binaan itu dikenakan satu sebatan.

Hakim menetapkan hukuman penjara berkuat kuasa mulai 27 April lalu iaitu tarikh tertuduh ditahan, selain mengekalkan denda keseluruhan RM15,100 yang diputuskan mahkamah rendah sebelum ini.

Minggu lalu, Romjan mengaku bersalah di beberapa Mahkamah Majistret atas lima pertuduhan mencabul empat wanita tempatan serta seorang pelancong asing di beberapa stesen MRT dan LRT sekitar ibu negara antara 10 hingga 25 April lalu.

Sebelum ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara tiga minggu hingga enam bulan yang berjalan serentak, selain denda keseluruhan RM15,100.

Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum memohon Mahkamah Tinggi mengenakan hukuman lebih berat dengan alasan kesalahan gangguan seksual merupakan jenayah serius dan membimbangkan masyarakat.

Bagaimanapun, peguam Radzuan Ibrahim merayu supaya hukuman asal dikekalkan bagi membolehkan anak guamnya menjalani hukuman lebih awal sebelum dihantar pulang ke negara asal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast