KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) mengesahkan satu wabak disyaki leptospirosis (kencing tikus) melibatkan empat kes dikesan di sebuah taman rekreasi di Kuala Pilah.
Sehubungan itu, kawasan tersebut ditutup sementara bermula 10 hingga 17 Mei ini bagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan.
Menurut JKNNS, semua individu terbabit mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan sakit otot selepas mengunjungi serta menjalankan aktiviti air di kawasan rekreasi berkenaan.
“Daripada jumlah tersebut, seorang pesakit dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala tiga lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JKNNS berkata, sampel klinikal daripada kes-kes terbabit telah diambil bagi tujuan ujian pengesahan leptospirosis.
Jelas kenyataan itu, penilaian risiko yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Pilah mendapati, persekitaran taman rekreasi tersebut adalah kondusif untuk penularan penyakit berkenaan.
Leptospirosis merupakan penyakit zoonosis yang boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia melalui bakteria Leptospira.
Jangkitan boleh berlaku melalui luka pada kulit atau membran mukus yang terdedah kepada air, tanah atau makanan yang tercemar.
Antara haiwan yang boleh menjadi perumah bakteria tersebut termasuk tikus, kucing, anjing, lembu, babi, arnab dan kuda.
Menurut JKNNS, leptospirosis merupakan penyakit endemik di negara beriklim tropika termasuk Malaysia dengan tempoh pengeraman antara dua hingga 30 hari.
Gejala penyakit itu termasuk demam, menggigil, sakit badan atau otot, sakit kepala, batuk tanpa kahak, loya, muntah dan cirit-birit.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mengelakkan kawasan rekreasi air terutama ketika musim hujan, menjaga kebersihan persekitaran serta tidak membuang sampah merata-rata.
Selain itu, orang ramai juga digesa mengamalkan kebersihan diri, mengelakkan minum air sungai atau air tidak dimasak, serta tidak bermain air sekiranya mempunyai luka terbuka.
JKNNS memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa kejadian itu dan meningkatkan langkah pencegahan serta kawalan dengan kerjasama semua agensi berkaitan. – MalaysiaGazette
















