KOTA TINGGI – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,500 terhadap sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan kedai barangan serbaneka atas tuduhan melanggar peraturan pameran jualan produk tembakau, tahun lalu.
Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar menjatuhkan hukuman denda itu selepas Noorijan Enterprise selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara selama satu bulan sekiranya denda dikenakan gagal dibayar OKS.
Berdasarkan kertas pertuduhan, syarikat terbabit didakwa mempamerkan produk tembakau bagi penjualan melainkan pameran bagi penjualan itu mematuhi sebagaimana ditetapkan di Jalan Niaga 2 di sini, pukul 10.15 pagi, 1 Oktober 2025.
OKS didakwa melakukan kesalahan bawah subseksyen 10(2)(a)(i) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan 2024 dan pendakwaan dibuat mengikut subseksyen 10(1) akta yang sama dibaca bersama-sama Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024 P.U.(A) 260.
Di bawah peruntukan undang-undang itu, peniaga dilarang sama sekali untuk mempamerkan produk tembakau bagi tujuan jualan secara terbuka, melainkan pameran itu dilakukan dalam kedai khas yang dibenarkan.
Pendakwaan dijalankan barisan pegawai pendakwa dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) iaitu Muhammad Safwan Hafiz Sabtu, Mohd Irwan Othman dan Mohd Rasyid Malek, manakala OKS diwakili peguam Nor Shahid Abd Malik.
OKS didakwa pada 7 April lalu dan mengaku tidak bersalah, namum menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding pengurusan kes dan sebutan semula untuk serahan representasi, hari ini.
JKNJ dalam satu kenyataan berkata, tindakan perundangan yang dibuat itu mencerminkan komitmen berterusan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menguatkuasakan tatakelola penjualan produk tembakau demi kesejahteraan dan kesihatan awam.- MalaysiaGazette
















