KUALA LUMPUR – Sokongan mahasiswa terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersifat objektif dengan menghargai setiap langkah yang membawa kestabilan negara, kata Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
Presidennya, Muhammad Irfan Firdaus Md Fauzi berkata, dalam masa sama, golongan mahasiswa kekal kritikal terhadap sebarang dasar yang tidak menyebelahi kebajikan rakyat.
“Sikap mahasiswa hari ini tidak boleh dipukul rata sebagai penyokong tegar mahupun penentang mutlak. Sebaliknya mereka adalah kelompok pemikir yang dinamik dan ‘berasaskan prestasi’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua pihak perlu menerima hakikat yang demokrasi di kampus semakin matang apabila mahasiswa kini lebih mementingkan hasil berbanding ideologi kepartian.
Oleh itu, tambah Muhammad Irfan Firdaus, kerajaan mahupun pembangkang tidak seharusnya mengambil mudah suara anak muda kerana sokongan mereka perlu dimenangi setiap hari melalui tindakan yang nyata.
“Ia bukan sekadar janji-janji manis atau retorik politik semata-mata,” tegasnya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), Aqeef Salih menafikan sayap mahasiswa itu pernah mengeluarkan kenyataan mendakwa hilang keyakinan terhadap parti di bawah pimpinan Anwar.
Beliau menegaskan, kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui melalui saluran rasmi organisasi.
“Kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan melalui saluran rasmi MKM.
“Ia hanyalah tindakan beberapa kerat individu dalam pimpinan pusat yang mempunyai agenda tersendiri dan mengambil kesempatan menggunakan platform MKM untuk menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif terhadap organisasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















