KOTA TINGGI – Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mahu pulang Indonesia dan tiga ahli sindiket penyeludupan diberkas di kawasan semak Tanjung Balau, Bandar Penawar, Pengerang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi melakukan operasi tersebut pukul 6.45 petang.
Beliau berkata, sebelum membuat serbuan, pihaknya melakukan pemerhatian selama beberapa minit sebelum ternampak sebuah kereta yang mencurigakan masuk ke dalam kawasan semak berkenaan.
“Pihak polis menghampiri kereta tersebut dan semasa pemeriksaan dijalankan, pemandu bertindak memecut laju cuba melarikan diri.
“Polis kemudiannya berjaya menahan pemandu dan hasil pemeriksaan menjumpai seorang migran yang dirancang untuk dihantar pulang ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, susulan tangkapan tersebut, pihaknya membuat pemeriksaan lanjut di kawasan semak dan berjaya menjumpai sekumpulan warga Indonesia terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita sedang bersembunyi.
“Hasil soal siasat awal, kesemua migran mengaku ingin pulang ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan dengan diuruskan oleh dua penjaga rumah penampungan yang turut ditahan semasa kejadian,” katanya.
Katanya, kesemua tangkapan bukan warganegara berusia di antara 18 hingga 54 tahun dan rampasan dibawa balik ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.
Ujarnya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 26a Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tambahnya, sindiket berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak enam bulan lalu.
Pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan penyeludupan migran agar tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berdekatan atau melalui hotline polis IPD Kota Tinggi 07-8831222.- MalaysiaGazette
Caption gambar:Polis menahan PATI yang mahu pulang ke Indonesia dalam serbuan di kawasan semak Tanjung Balau, Bandar Penawar, Pengerang, Kota Tinggi semalam
















