GEORGE TOWN – Sebanyak tiga kenderaan terbakar selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Underpass Udini, Jalan Masjid Negeri, Jelutong di sini, hari ini.
Kejadian pada jam 7.04 pagi itu melibatkan sebuah lori treler, van persiaran serta tiga kenderaan jenis Proton S70, Perodua Alza dan Cherry Tiggo.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.04 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, kebakaran membabitkan tiga daripada lima kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di bawah laluan underpass berkenaan.
“Kebakaran membabitkan lori treler, van persiaran dan Proton S70 itu berjaya dikawal pada jam 7.33 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.

“Impak kejadian itu, lori treler mengalami kemusnahan kebakaran di bahagian kepala lori sebanyak 90 peratus, manakala van persiaran turut musnah 90 peratus dan Proton S70 sebanyak 95 peratus,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah ‘direct attack’ dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.16 pagi.
“Kerja-kerja ‘overhaul’ selesai dijalankan sebelum lokasi diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi hantaran info trafik di Facebook memaklumkan anggota warden trafik dihantar ke lokasi bagi melaksanakan kawalan dan melancarkan aliran lalu lintas di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette
















