Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dibuat pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) wajar diberikan perhatian serius.

Ini kerana, kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, ia menyentuh asas yang paling penting dalam sistem pendidikan negara iaitu kedudukan dan hala tuju Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Menurut beliau, apabila seorang tokoh pendidikan sendiri mula menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan semasa dasar kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), ia memberi isyarat bahawa berlaku perubahan besar yang tidak boleh dipandang ringan.

Hakikatnya, ujar beliau yang juga peguam, Dasar Pendidikan Kebangsaan dibina atas tujuan yang jelas iaitu membentuk perpaduan nasional, memartabatkan bahasa Melayu serta memastikan semua sistem pendidikan bergerak dalam satu kerangka negara bangsa yang sama.

“Namun, apabila laluan ke institusi pengajian tinggi awam mula diperluaskan kepada sistem pendidikan yang tidak berasaskan kurikulum kebangsaan secara menyeluruh, maka timbul persoalan sama ada asas dasar ini masih dipertahankan atau sedang dilonggarkan secara beransur-ansur,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Lebih membimbangkan, kata Zainul Rijal, apabila dalam wacana ini, institusi tahfiz seolah-olah dijadikan perbandingan, sedangkan hakikatnya institusi tahfiz di Malaysia telah lama menyesuaikan diri dengan sistem nasional melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelbagai program integrasi akademik.

“Justeru, negara tidak boleh mengorbankan falsafah pendidikan kebangsaan atas nama keterbukaan tanpa menilai kesan jangka panjang terhadap identiti, perpaduan dan arah tuju pendidikan negara,” katanya.

Terdahulu, Anuar menimbulkan persoalan berkenaan kedudukan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang merupakan dokumen rasmi pendidikan negara susulan keputusan Kabinet membenarkan lepasan UEC memasuki IPTA.

Menurut Anuar, Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah dokumen dasar yang menjadi bukti kewujudan sebuah sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia.

Sehubungan itu, ujarnya, semua dasar pendidikan negara yang terkandung di dalam dokumen tersebut sepatutnya dipertahankan oleh setiap warganegara Malaysia.

“Saya sekadar mahu bertanya, bolehkah hari ini kita bersetuju dengan keputusan mengiktiraf UEC (walaupun sebahagian) sedangkan dokumen RASMI Dasar Pendidikan Kebangsaan sendiri menyatakan secara jelas TIDAK MENGIKTIRAF UEC?

“Mana satu yang kita patut ikut?” kata Anuar menerusi Facebook hari ini. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast