Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos. Foto MUHD NA’IM 29 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Sungai Besar gesa semua kepimpinan parti Melayu itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya benar kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) secara rasmi.

Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos menegaskan, langkah itu bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta tidak selari dengan perjuangan UMNO sejak sekian lama.

“Jika benar UEC diiktiraf, saya menggesa supaya UMNO keluar daripada kerajaan Madani.

“Ini kerana keputusan itu bukan sahaja bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan malah bertentangan dengan perjuangan UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC atau UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

Langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Jamal juga menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai kemenangan kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang selama ini memperjuangkan agenda berkenaan sekiranya UEC benar-benar diiktiraf secara rasmi.

“Sekiranya pengiktirafan UEC oleh kerajaan Madani adalah benar, maka ia merupakan satu kemenangan buat DAP yang sememangnya selama ini memperjuangkan agenda cauvinis ini,” tegasnya.

Selain itu, Jamal juga mendesak Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir supaya tampil memberikan penjelasan secara jelas dan tuntas berhubung status pengiktirafan UEC.

“Isu itu kini mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat dan kekeliruan yang berlaku menimbulkan persepsi kononnya Kerajaan Madani mengiktiraf UEC secara rasmi.

“Polemik mengenai isu UEC sewajarnya diberikan penjelasan tuntas supaya rakyat mendapat gambaran yang sebenarnya berhubung perkara ini.

“Oleh itu, saya meminta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir supaya tampil memberi penjelasan yang jelas sejalasnya berhubung status pengiktirafan UEC,” katanya.

Katanya lagi, penjelasan segera daripada KPT amat penting bagi mengelakkan isu tersebut terus dimanipulasi pihak tertentu sehingga memberi kesan negatif terhadap UMNO dan kerajaan.

“Rakyat ketika ini mendapat gambaran bahawa UEC yang sebelum ini ditentang kerana bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan telah diiktiraf kerajaan Madani.

“Sedangkan apa yang difahami ialah KPT hanya membuka laluan kepada pemegang UEC untuk memasuki IPTA dengan syarat tertentu.

“Ia termasuk wajib mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Laluan ini juga turut membabitkan beberapa kursus mata pelajaran tertentu sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast