KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Shahir Adnan membantah keras sebarang usaha kerajaan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), walaupun hanya melibatkan kursus atau universiti tertentu.
Menurut beliau, langkah tersebut tetap dianggap sebagai satu bentuk pengiktirafan rasmi terhadap sistem pendidikan yang berada di luar kerangka pendidikan kebangsaan dan boleh menjejaskan agenda perpaduan negara.
Katanya, kerajaan tidak seharusnya membuka ruang kompromi dalam perkara melibatkan asas pembinaan negara bangsa.
“Malaysia tidak akan berjaya membina sebuah bangsa yang bersatu jika rakyat terus dididik dalam sistem yang berasingan dari sudut bahasa, identiti dan orientasi kebangsaan.
“Untuk menyatupadukan rakyat dalam negara berbilang kaum, kita mesti mengutamakan bahasa kebangsaan dan sistem pendidikan kebangsaan sebagai asas bersama seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahir berkata, pengiktirafan terhadap UEC hanya akan menyebabkan sistem pendidikan negara semakin berpecah mengikut garis kaum dan aliran pendidikan masing-masing.
Beliau turut mendakwa pengumuman kerajaan yang dibuat serentak dengan pengiktirafan sekolah tahfiz sebagai satu “helah licik” bagi mengaburi isu sebenar kerana pelajar tahfiz masih menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Keputusan kerajaan untuk terus melayan tuntutan pengiktirafan UEC adalah langkah yang amat berbahaya.
“Hari ini kerajaan memberi sedikit kelonggaran, esok diberi sedikit lagi ruang, akhirnya UEC akan diterima secara menyeluruh dan sistem pendidikan negara akan menjadi semakin terbelah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendakwa kerajaan semakin tunduk kepada tekanan politik dan tuntutan kelompok tertentu sehingga sanggup menggadaikan prinsip asas pembinaan negara bangsa.
Sehubungan itu, Shahir menyeru kerajaan menghentikan segera segala usaha ke arah pengiktirafan UEC dalam apa jua bentuk demi mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan, bahasa Melayu dan identiti nasional.
“Jangan gadaikan masa depan perpaduan negara demi kepentingan politik jangka pendek,” katanya. – MalaysiaGazette















