Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Pengumuman Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi di negeri itu merupakan satu penghinaan terhadap maruah Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, pengumuman yang dibuat sehari sebelum Konvensyen PH 2026 jelas membuktikan bahawa mereka dikhianati parti itu.

Ujar wakil rakyat DAP itu, tambahan pula dengan gerakan BN di Negeri Sembilan baru-baru ini yang menyaksikan semua ADUNnya termasuk Timbalan Presiden UMNO, menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO tidak boleh dipercayai dan adalah bodoh untuk mengharapkan kesetiaan mereka di peringkat Persekutuan,” ujarnya menerusi hantaran  Facebook hari ini.

Semalam, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan untuk bertanding di kesemua kerusi DUN itu dibuat selepas mengambilkira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri.

Menurut beliau, keputusan berkenaan turut dicapai selepas perbincangan bersama pucuk pimpinan parti.

Ramkarpal selanjutnya berkata, laporan sebuah portal berita turut menyatakan pendirian Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa BN tidak perlu membincangkan perkara tersebut dengan kepimpinan kerajaan gabungan selepas menjangkakan ia akan ditolak.

Sambil menyifatkan tindakan UMNO sebagai tidak masuk akal, beliau berkata, ia adalah petunjuk jelas tentang keengganan UMNO untuk terlibat dengan PH dan keinginannya untuk bertindak secara unilateral, merugikan rakan gabungannya.

“Memandangkan perkara di atas, tindakan untuk terus bekerjasama dengan UMNO adalah jelas tidak diperlukan.

“PH mesti melakarkan trajektori politik masa depannya tanpa UMNO, kerana warna sebenar mereka kini jelas terdedah untuk tatapan semua,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast