KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri berjaya mematahkan cubaan menyeludup 1,170 karton minuman keras bernilai lebih RM221,000 di perairan Limbang, malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan yang diperoleh pihaknya menerusi pemantauan berterusan terhadap aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, sebuah bot ronda yang sedang melaksanakan operasi rutin berjaya mengesan dan merampas barangan seludup tersebut kira-kira pukul 10.15 malam di kedudukan 0.1 batu nautika dari barat Jeti Limbang.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 1,170 karton minuman keras yang dibalut dengan plastik hitam dan disusun rapi dengan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM221,000.
“Minuman keras berkenaan dipercayai ditinggalkan oleh penyeludup yang melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua minuman keras itu dipercayai cuba diseludup untuk pasaran tempatan susulan permintaan tinggi menjelang musim perayaan.
Katanya, rampasan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan arak dari negara jiran dan jelas melanggar peruntukan di bawah Akta Kastam 1967.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjadikan perairan negara sebagai laluan atau sarang penyeludupan haram,” tegasnya.
Tambah beliau, kejayaan itu membuktikan kecekapan pasukan penguat kuasa serta keberkesanan jaringan risikan dalam membanteras jenayah rentas sempadan di perairan negara.
Kesemua barang rampasan dibawa ke Kompleks Ibu Pejabat Maritim Zon Miri untuk proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut mengikut lunas undang-undang. – MalaysiaGazette















