Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashimi ketika Sidang Media berkaitan pelaburan yang disyaki tidak sah anjuran sebuah syarikat koperasi di Nasken Coffee, Jalan Tasik Utama Sg Besi. Foto SYADILA AMARI, 6 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menafikan dakwaan kononnya pertubuhan itu membela pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mendapatkan Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas).

Sebaliknya, pertubuhan itu menegaskan perjuangan mereka tertumpu kepada kelompok stateless yang lahir dan membesar di negara ini tetapi masih tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, isu dibawa pertubuhan itu bukan berkaitan pemberian kewarganegaraan kepada warga asing, sebaliknya soal kemanusiaan melibatkan individu yang sudah lama menetap di Malaysia, namun terus hidup tanpa identiti sah.

Menurutnya, ramai dalam kelompok terbabit dilahirkan di Malaysia, tidak memiliki kewarganegaraan negara lain dan telah tinggal di negara ini sejak sekian lama tetapi masih gagal mendapatkan sebarang bentuk pengenalan diri.

“Kita bukan memperjuangkan supaya mereka diberi IC biru atau hak kewarganegaraan secara automatik.

“Apa yang kita bangkitkan ialah soal identiti sementara supaya golongan ini dapat hidup secara lebih teratur dan tidak terus berada dalam keadaan terpinggir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa MHO cuba membela PATI  melalui usaha melonggarkan syarat permohonan MyKas.

Hishamuddin berkata, MHO melihat isu itu dari sudut hak asasi manusia dan kemanusiaan tanpa mengira latar belakang individu terbabit.

Katanya, kewujudan identiti sementara kepada kelompok stateless yang sudah lama menetap di negara ini juga mampu membantu negara dari sudut keselamatan serta pengurusan sosial.

“Apabila mereka mempunyai identiti yang lebih jelas, mereka boleh bekerja secara sah, menyumbang kepada ekonomi negara dan pada masa sama memudahkan urusan pemantauan serta keselamatan.

“Ini bukan soal membuka ruang kepada pendatang tanpa izin tetapi bagaimana kita mengurus realiti masyarakat stateless yang sudah lama wujud dalam negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan MHO bukan wakil kepada mana-mana agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebaliknya hanya menjalankan fungsi sebagai badan advokasi kemanusiaan.

“MHO tidak pernah dilantik oleh JPN dan kami juga tidak mewakili mana-mana agensi kerajaan.

“Kami hanya menggunakan platform NGO untuk membawa suara masyarakat yang memerlukan perhatian termasuk isu berkaitan identiti dan kemanusiaan,” ujarnya.

Menurut Hishamuddin, prinsip perjuangan MHO adalah membantu sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat.

Katanya, selain isu stateless, MHO juga aktif membantu rakyat Malaysia dalam pelbagai kes termasuk isu tanah adat, tanah rizab Melayu, pemerdagangan manusia dan penipuan kewangan atau scam.

“MHO bukan hanya bercakap soal satu kaum atau satu kelompok sahaja. Prinsip kami mudah, selagi melibatkan kemanusiaan dan keadilan, kami akan bantu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Kerajaan digesa longgar syarat MyKas bantu golongan stateless Sabah – MHO

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast