Nga Kor Ming ketika mengetuai delegasi Malaysia Forum Urban Sedunia ke-13 (WUF13).

BAKU – Malaysia semalam melancarkan Platform Agenda Urban Asia Pasifik (AP-UAP) semasa Majlis Perasmian Pavilion Malaysia di Forum Urban Sedunia ke-13 (WUF13) di sini.

Platform itu menandakan peralihan daripada perbincangan yang bersifat berasingan kepada mekanisme yang lebih tersusun dan berorientasikan tindakan, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kerjasama urban serantau.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mengetuai delegasi negara ke forum itu berkata, AP-UAP amat penting dalam mentransformasikan usaha urban yang berpecah-belah di seluruh Asia Pasifik kepada ekosistem kolektif yang tersusun dan dipacu tindakan

Ujarnya, yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat, ia sekali gus membolehkan bandar bergerak lebih pantas daripada visi kepada pelaksanaan dan daripada dialog kepada penyampaian hasil.

“Dilahirkan daripada kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia dan UN-Habitat, platform ini lebih daripada sekadar satu inisiatif, sebaliknya ia adalah satu misi.

“Ia menyatukan negara-negara anggota yang sehaluan untuk mengintegrasikan Agenda Urban Baharu (NUA) ke dalam teras pembangunan nasional di semua negara,” katanya ketika berucap merasmikan Pavilion Malaysia di WUF EXPO.

Nga Kor Ming ketika mengetuai delegasi Malaysia Forum Urban Sedunia ke-13 (WUF13).

AP-UAP yang dibangunkan menerusi kerjasama antara Urbanice Malaysia dan UN-Habitat diperkenalkan sebagai mekanisme strategik serantau bagi memperkukuh kerjasama, mempercepat pelaksanaan NUA serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di 58 negara rantau Asia Pasifik.

Pavilion Malaysia turut menyaksikan pelancaran penerbitan terbaharu Think City bertajuk “Housing the Poor: Malaysia’s Journey from Slums to Resilient Communities”/

Ia mencerminkan perjalanan lima dekad negara dalam memajukan inovasi perumahan awam dan memperkukuh infrastruktur sosial bagi komuniti rentan, yang menyaksikan kadar pemilikan rumah rakyat Malaysia kini meningkat kepada 77 peratus.

Tersedia dalam format digital dan fizikal, penerbitan itu mengetengahkan evolusi perancangan bandar Malaysia, dasar perumahan awam, pendekatan pembangunan berteraskan komuniti serta usaha membina bandar yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berpusatkan rakyat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Tenaga dan Infrastruktur Emiriah Arab Bersatu, H.E. Suhail Mohamed Faraj Al Mazrouei.

Terdahulu, pada sidang media pembukaan rasmi WUF13, Kor Ming berkongsi bahawa krisis perumahan global kini menjejaskan hampir 2.8 bilion penduduk dunia, sambil memberi amaran bahawa urbanisasi pesat, tekanan iklim dan jurang ketidaksamaan yang semakin melebar memerlukan tindakan global yang segera dan terselaras.

Menegaskan bahawa urbanisasi bukan sekadar mengenai statistik tetapi berkaitan kehidupan dan maruah manusia, beliau menyeru komitmen baharu terhadap NUA serta mempercepat kemajuan ke arah pencapaian SDG.

“Kita perlu komited kepada Urbanisme Berpusatkan Manusia, dan bekerjasama secara kolektif untuk merapatkan jurang pembiayaan tahunan yang dianggarkan berjumlah AS$5.4 trilion bagi infrastruktur berdaya tahan iklim,” katanya.

Beliau menambah, ketika Malaysia bersedia menyerahkan kepimpinan Habitat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kepada Emiriah Arab Bersatu dan mengambil alih kerusi negara itu dalam Lembaga Eksekutif UN-Habitat tahun depan, semua pihak berkepentingan digalakkan menyumbang kepada Seruan Tindakan WUF13 bagi memastikan ia menjadi dokumen legasi yang bermakna dan memberi inspirasi.

Pada masa sama, Kor Ming turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Azerbaijan kerana menjadi tuan rumah WUF13 serta menyorot mesej utama daripada pemimpin global, termasuk Setiausaha Agung PBB, António Guterres dan Presiden Perhimpunan Agung PBB, Annalena Baerbock, yang menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh kerjasama multilateral dalam menangani cabaran urban global.

Mengimbas kemajuan nasional Malaysia, beliau menonjolkan pencapaian utama di bawah Kerajaan MADANI, termasuk penyediaan lebih 1.1 juta rumah mampu milik, kadar pemilikan rumah sebanyak 77 peratus serta penanaman lebih 115 juta pokok di seluruh negara sebagai sebahagian komitmen kerajaan terhadap SDG 2030.

Sesi ke-13 Forum Urban Sedunia (WUF13) yang dianjurkan bersama oleh Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) dan Kerajaan Azerbaijan, berlangsung dari 17 hingga 22 Mei ini.

Dengan tema “Housing the World: Safe and Resilient Cities and Communities”, sesi itu menghimpunkan lebih 30,000 peserta dari 180 negara untuk bertukar pengetahuan, berkongsi amalan terbaik dan memperkukuh kerjasama global dalam menangani cabaran urban. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast