PONTIAN – Seorang lelaki ditemukan terbaring berlumuran darah di hadapan sebuah kedai makanan di pekan Nanas di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian tersebut pukul 3.35 pagi.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun mengalami cedera parah pada tangan dan kaki. Mangsa juga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mengesan suspek yang terlibat.
Sehubungan itu, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Komisioner Ahmad Shah Abdul Rasheed di talian 019-7578020, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran
“Polis turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















