KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menerbitkan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) berkuat kuasa pada 1 Jun depan.
Ia bagi memperkukuh keselamatan pengguna digital khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, penerbitan kedua-dua kod itu dibuat susulan sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil serta pihak berkepentingan berkaitan termasuk pelaksanaan rundingan awam yang berlangsung dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.
Menurut suruhanjaya itu, CPC dan RMC merupakan langkah penting dalam memperkukuh pendekatan Malaysia terhadap keselamatan dalam talian selain sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memastikan pengalaman digital lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
“Langkah ini membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah MCMC, kod berkenaan menetapkan jangkaan jelas kepada pemberi perkhidmatan supaya memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan pada platform masing-masing.
Pendekatan pelaksanaan di bawah kod itu adalah berasaskan hasil bagi memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan melaksanakan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan keselamatan, privasi dan perundangan.
Menurut kenyataan itu, CPC memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengalaman dalam talian lebih selamat dan bersesuaian mengikut umur pengguna kanak-kanak melalui penerapan prinsip keselamatan melalui binaan atau safety by design.
“Ia termasuk perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun,” jelasnya.
Selain itu, langkah di bawah CPC turut menyediakan perlindungan mengikut umur serta mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko termasuk kandungan eksploitasi dan memudaratkan.
Dalam pada itu, RMC pula menghendaki pemberi perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan.
Antara langkah ditetapkan termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respons berkesan, pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi.
MCMC berkata, tempoh pelaksanaan munasabah akan diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan diselesaikan secara teratur. – MalaysiaGazette
















