MERSING – Polis menahan seorang penjawat awam selepas disyaki terlibat kes amang seksual seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun di sini.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing menerima satu laporan polis berkenaan kejadian tersebut semalam.
“Tangkapan dibuat ke atas suspek iaitu seorang lelaki tempatan penjawat awam yang berumur 31 tahun. Turut dirampas sebuah telefon bimbit.
“Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama lima hari mulai hari ini hingga 26 Mei ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan bawah Seksyen 14(a)/14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 iaitu kesalahan bagi perbuatan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.
Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat.
Pihaknya menasihatkan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah menerusi 07-7992222, talian terus 07-7991300; hotline 07-7996224 dan tablet DCC 07-7993507.- MalaysiaGazette
















