Pesalah yang membuang sisa pepejal membersihkan kawasan persekitaran sebagai antara hukuman menerusi PKM. - Foto: FB SWCorp Wilayah Persekutuan (GAMBAR HIASAN)

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) terhadap 18 individu yang melakukan kesalahan membuang sisa puntung rokok di tempat awam.

Kesemua Orang Kena Tuduh (OKT) menjalani hukuman selama empat jam bagi PKM Siri Kesembilan di Taman Permainan Kanak-Kanak (TPKK), Jalan Metro Perdana Timur 5, Kepong, bermula pukul 9 pagi.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, mereka menjalani khidmat itu mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) (Pindaan 2025).

“Kebersihan awam mencerminkan disiplin serta tahap ketamadunan masyarakat. Perkara ini perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama dalam membentuk persekitaran bandar yang lebih berdisiplin, selesa dan berkualiti,” katanya.

PKM Siri Kesembilan dilaksanakan secara serentak membabitkan enam negeri iaitu Kedah, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perlis dan Wilayah Persekutuan membabitkan 76 pesalah yang diperintahkan mahkamah.

Di Wilayah Persekutuan, OKT terbabit berusia antara 20 hingga 50 tahun, terdiri daripada 14 warga tempatan; seorang masing-masing warga Myanmar dan Pakistan serta dua warga Bangladesh.

Tugasan pembersihan termasuklah pembersihan kawasan longkang, sapuan siar kaki dan jalan awam serta mengutip sampah (litter picking).

Sementara itu, SWCorp menerusi laman sesawang menunjukkan, sebanyak 18 waran tangkap dikeluarkan oleh mahkamah bagi kes di Melaka, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor.

Laman sesawang itu turut menyatakan, sejak penguatkuasaan Akta 672 bermula 1 Januari lalu, sebanyak 7,436 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan sehingga 19 Mei lalu di tujuh negeri membabitkan 5,369 warga tempatan dan 2,067 warga asing.

Sementara itu, SWCorp dalam kenyataan berkata, PKM sebagai bentuk pemulihan yang memberi pengalaman langsung kepada pesalah terhadap realiti pengurusan kebersihan awam.

“Sehingga kini, sebanyak 101 lokasi hotspot dikenal pasti di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 iaitu Perlis (5 lokasi); Kedah (9 lokasi); Wilayah Persekutuan (17 lokasi); Negeri Sembilan (21 lokasi); Melaka (12 lokasi); Pahang (24 lokasi) dan Johor (13 lokasi).

“Statistik ini membuktikan ketegasan kerajaan dalam meningkatkan tahap pematuhan terhadap kebersihan awam dengan memastikan kesalahan pembuangan sampah kecil tidak lagi dipandang ringan oleh mana-mana pihak,” katanya.

SWCorp menegaskan pemeriksaan berkala akan terus dilakukan di kawasan awam serta premis perniagaan di samping memperkasakan sesi libat urus bersama peniaga dan komuniti setempat bagi menyemai budaya kebersihan.

Mulai 1 Januari 2026, kerajaan menguatkuasakan PKM terhadap individu yang melakukan kesalahan membuang sisa pepejal di tempat awam, selaras dengan Akta 672.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 dan/atau Perintah Khidmat Masyarakat bagi tempoh maksimum 12 jam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast