KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes membabitkan dakwaan salah laku seksual di institusi pendidikan yang semakin mendapat perhatian masyarakat sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk pelajar menimba ilmu dan membina masa depan bukan lokasi yang menimbulkan ketakutan serta trauma kepada murid dan ibu bapa.
Menurutnya, setiap dakwaan melibatkan salah laku seksual terhadap pelajar dan individu bawah umur perlu dipandang serius kerana ia bukan sekadar pelanggaran undang-undang malah satu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan serta keselamatan mangsa.
“Kesalahan seksual melibatkan pelajar bukan perkara kecil. Kesan trauma dialami mangsa boleh berpanjangan dan memberi kesan terhadap emosi, keyakinan diri serta masa depan mereka.
“Apa yang lebih membimbangkan apabila institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi ruang perlindungan kini mula dikaitkan dengan kes-kes seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sivakumar berkata, walaupun setiap kes perlu melalui proses siasatan yang adil dan telus mengikut lunas undang-undang, kebimbangan rakyat ketika ini tidak boleh dipandang ringan terutama apabila semakin banyak dakwaan seumpama itu muncul dalam tempoh singkat.
Beliau turut berharap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengambil pendekatan lebih tegas dan menyeluruh dalam menangani isu berkenaan demi memastikan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.
Katanya, Kementerian Pendidikan perlu memperkukuh mekanisme pemantauan, mempercepat siasatan dalaman serta memastikan tiada ruang untuk mana-mana pihak melindungi perlakuan tidak bermoral di institusi pendidikan.
“Jika benar terbukti berlaku salah laku seksual, tindakan dan hukuman tegas perlu dikenakan tanpa kompromi. Tiada alasan yang boleh mempertahankan perbuatan melibatkan gangguan, eksploitasi atau jenayah seksual terhadap pelajar dan individu bawah umur,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya saringan psikologi berkala terhadap tenaga pengajar diperluaskan selain memperkasakan saluran aduan selamat untuk murid tampil melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan.
Menurutnya, majoriti guru di negara ini menjalankan amanah dengan penuh dedikasi dan integriti, justeru tindakan tegas perlu diambil terhadap segelintir pihak yang mencemarkan nama baik profesion perguruan.
“Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Jangan disebabkan segelintir pihak, rosak kepercayaan rakyat terhadap institusi pendidikan dan golongan pendidik yang selama ini menjadi tunjang pembinaan masa depan negara,” tegasnya. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Isu guru terlibat salah laku seksual di Setiu dalam siasatan KPM















