[ARKIB] Penjawat awam meneruskan tugasan dari dalam suasana tenang berikutan pelaksanaan inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 April 2026.

PUTRAJAYA – Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) berjaya menjimatkan RM4.22 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 2.14 juta liter setakat ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

“Perlu diingatkan sekali lagi, BDR ini bukan bermaksud ‘Baring Duduk Rehat’. Ia bertujuan bagi mengawal penggunaan petrol, maka kerajaan luluskan BDR bermula 15 April lepas.

“Walaupun tekanan subsidi (meningkat) mendadak, kerajaan akan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya ketika menyampaikan amanat dan merasmikan Majlis Apresiasi “Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness” (ERAT) di sini malam ini.

Pada 30 April lepas, media melaporkan kerajaan berjaya menjimatkan RM1.9 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 979,632 liter dalam tempoh 10 hari pelaksanaan BDR yang melibatkan 200,000 penjawat awam.

Shamsul Azri berkata bagi memastikan BDR dilaksanakan dengan berkesan serta tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, setiap ketua jabatan perlu berpegang kepada konsep T.E.G.A.S iaitu tindakan pantas, empati, gagasan jelas, adaptif dan strategi efektif.

“Saya ingin ingatkan agar konsep TEGAS ini diamalkan oleh setiap ketua jabatan dalam kita berhadapan dengan krisis ketika ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengajak seluruh penjawat awam untuk mengimbas kembali nilai M.A.L.A.Y.S.I.A, iaitu mesra, adil, luhur, amanah, yakin, setia, islah dan arif, semasa memberikan perkhidmatan tanpa mengira status individu berkenaan dalam masyarakat.

“Jangan bezakan layanan dengan melihat kepada jawatan. Kalau Datuk-Datuk datang, kita senyum berseri, tapi kalau tukang cuci datang berurusan, adakah kita layan sama dengan kita layan Datuk-Datuk?” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penjawat awam perlu memahami bahawa tanggungjawab yang digalas adalah satu amanah untuk dilaksanakan sebaik mungkin, bukan untuk dibangga-banggakan.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata tugas sebagai ketua jabatan bukanlah satu amanah yang mudah kerana mereka memikul beban tanggungjawab yang besar.

“Sebarang kesalahan yang dibiarkan tanpa tindakan bukan sahaja menjejaskan jabatan, malah turut mencalar kredibiliti agensi penguatkuasaan secara keseluruhan.

“Sehubungan itu, peranan ketua jabatan amat kritikal dan mereka perlu sentiasa mengutamakan integriti dalam menterjemahkan amanah yang dipikul, selain memastikan keadilan ditegakkan segera tanpa sebarang kelengahan,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast