KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperhebat langkah memperkukuh keselamatan digital negara dengan mengetatkan kawalan terhadap platform media sosial bagi melindungi golongan kanak-kanak daripada ancaman kandungan memudaratkan serta interaksi negatif di alam maya.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 37 sesi libat urus agresif bersama pengendali platform dan pihak berkepentingan telah dilakukan MCMC sejak enam bulan lalu.
Menurutnya, sesi itu bagi memastikan persediaan rapi penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang telah mula berkuat kuasa pada 1 Januari lepas.
“Perbincangan itu memberi tumpuan kepada langkah pencegahan, pengesahan umur, kawalan ibu bapa dan penguatkuasaan syarat umur minimum 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial di Malaysia.
“Ia juga memberi tumpuan kepada langkah pengurangan dan moderasi proaktif terhadap kandungan memudaratkan dalam talian termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM), penipuan, buli siber dan pelbagai bentuk kemudaratan lain.
“Langkah-langkah ini bertujuan mewujudkan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur bagi golongan muda, dengan penekanan terhadap pengawasan ibu bapa, perlindungan platform yang lebih kukuh serta reka bentuk platform yang lebih bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pelaksanaan ONSA berfungsi seiring dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi memastikan penyedia platform digital mempunyai akauntabiliti tinggi dan tidak membiarkan ekosistem mereka dieksploitasi oleh jenayah siber yang menyasar golongan bawah umur.
Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak enam sesi telah diadakan sebelum ONSA dikuatkuasakan, manakala 31 sesi lagi dilaksanakan selepas akta itu berjalan.
“Sesi selepas penguatkuasaan itu turut melibatkan inisiatif Regulatory Sandbox yang bermula sejak Januari lalu bagi menilai pendekatan teknikal terbaik dalam melaksanakan mekanisme pengesahan umur pengguna.
“MCMC turut mengadakan lawatan kerja dan perbincangan teknikal di Singapura yang disertai wakil Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
“Ia bertujuan memperincikan aspek pencegahan jenayah siber, akauntabiliti platform, serta pengesahan umur bersama penyedia platform utama,” tambah kenyataan itu.
Secara keseluruhan, katanya, garis masa libat urus yang digerakkan MCMC bermula sejak hujung tahun lalu merangkumi sesi penerangan mengenai skop instrumen subsidiari ONSA dan kesiapsiagaan operasi bersama industri, pertububan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi antarabangsa.
Selain itu, tambahnya, turut diadakan adalah pengenalan inisiatif Regulatory Sandbox dan perbincangan pengesahan umur bersama penyedia platform serta pengesahan pihak ketiga.
Tidak hanya itu, menurutnya, sesi taklimat teknikal turut diadakan bersama agensi penguatkuasaan menerusi Pasukan Petugas Regulatory Sandbox.
“Selain itu, sesi penyelarasan berterusan bersama penyedia platform juga dilakukan bagi memastikan kelancaran dan kesiapsiagaan pematuhan syarat pengesahan umur.
“Komitmen berterusan menerusi Regulatory Sandbox ini penting bagi mengenal pasti pertimbangan operasi, teknikal dan pematuhan agar reka bentuk platform di Malaysia menjadi sebuah ruang digital yang selamat, bertanggungjawab dan bebas daripada pemangsa siber,” ujar kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette
















